KUALA LUMPUR – Usaha mencari dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) yang hilang sejak Jumaat lalu ketika sedang bertugas di Pulau Perak, Kedah sejak Jumaat lalu sedang giat dilaksanakan.
Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, anggota yang dikenal pasti hilang adalah Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers yang bertugas dalam Operasi PEJARAK (Ops PEJARAK) yang dijalankan di pulau itu.
“Operasi tersebut dilaksanakan di bawah kawalan Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melibatkan penempatan anggota TDM di dua buah pulau di antara perairan negeri Kedah dan Perak.
“Kehilangan dua anggota itu disedari pada lewat malam Jumaat lalu ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, usaha mencari dan mengesan mereka telah dijalankan oleh anggota yang bertugas di pulau tersebut bermula pada hari yang sama keduanya dilaporkan hilang.
“Penggunaan aset membabitkan kerjasama TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi usaha pencarian bermula pada pagi keesokkan harinya (Sabtu lalu) di kawasan pulau dan perairan sekitarnya.
“Usaha pencarian telah digiatkan untuk memastikan kedua-duanya ditemui dengan secepat mungkin,” ujarnya.
Pulau tersebut turut menjadi lokasi yang sama bagi kehilangan dua anggota TDM dari Batalion 4RRD yang terjatuh ke dalam laut ketika sedang menjalankan operasi pada awal bulan Oktober tahun 2016.
Salah seorang daripada mangsa, Koperal Mohd. Faizol Rosli, 29, ditemui kira-kira 30 meter dari pulau tersebut beberapa hari setelah kehilangannya. – K!~ ONLINE