2 Minggu Berlalu, Mawi Menghadapi 2 Kematian Dalam Keluarganya Tetiba Ditahan Wad Pula “Saya Sentiasa Ingat Mati”

BENAR apa yang dikata, kematian tiada had usia, tua atau muda; atau menjengah saat terlantar uzur. Kadangkala, insan yang masih belia dan sihat walafiat juga akan dijemput kembali ke alam baqa. Itulah yang dikatakan rahsia Ilahi.

Hal tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada Mawi yang baru kehilangan ibunya, Ramlah Sarlan pada 20 Jun lalu diikuti anak saudaranya yang berusia tiga bulan sehari selepas kejadian.

Pada malam Ahad lalu, niat penyanyi Asmawi Ani atau Mawi berkunjung ke Hospital Pakar An-Nur Bangi sekadar mahu melakukan pemeriksaan yang menjadi rutinnya.

Namun siapa sangka, setelah diperiksa, tekanan darahnya didapati terlalu tinggi hingga mencecah paras bahaya (200) lalu dinasihatkan untuk bermalam dalam wad untuk pemantauan doktor.

Terkejut dengan keadaan kesihatannya, Mawi meluahkan rasa syukur kerana hal tersebut dikesan awal oleh doktor sebelum dirinya berdepan risiko yang tidak diingini.

KOSMO!: Bagaimana keadaan Mawi sekarang? Adakah anda mengalami apa-apa simptom sebelum membuat pemeriksaan di hospital?

MAWI: Keadaan saya stabil. Sebenarnya, saya tidak mengalami sebarang simptom. Saya okey sahaja ketika tiba ke hospital. Apabila melakukan pemeriksaan, tekanan darah saya mencapai paras 200 dan doktor nasihatkan agar saya dimasukkan ke wad untuk pemantauan. Saya memang terkejut tetapi dalam masa sama bersyukur kerana masalah itu cepat dikesan. Sekarang saya perlu berehat di hospital untuk selama beberapa hari.

Jadi, anda boleh kembali bekerja dalam beberapa hari lagi?

Benar. Insya-Allah. Jika diizinkan Allah dan kesihatan kembali pulih, saya boleh keluar dari wad dan kembali bertugas.

Anda kehilangan ibu dan anak saudara dalam satu tempoh yang dekat baru-baru ini. Bagaimanakah anda menghadapi situasi berkenaan?

Artikel Berkaitan   9 Bulan Tidak Bersua, Netizen Ikut Sama Sebak Melihat Video Pertemuan Aliff Aziz, Isteri Dan 2 Orang Anak

Sejujurnya, pemergian ibu tercinta dan anak saudara membuatkan saya lebih reda dengan ketentuan Allah. Kehilangan mereka berdua menunjukkan bahawa mati itu pasti dan sesiapa sahaja boleh melaluinya. Tidak kira usia atau keadaan kesihatan diri. Jadi, hal seperti ini membuatkan saya sentiasa dan lebih ingat kepada Allah.

Bagaimanakah perasaan anda apabila ibu telah tiada lagi di sisi?

Biarpun boleh menerima pemergian ibu, tetapi rasa kosong tetap ada. Sebelum ini, saya akan menghubungi ibu pada pukul 10 pagi setiap hari, selepas setiap kali tamat bersiaran bersama radio Zayan. Namun, selepas ibu tiada, saya tidak tahu mahu menghubungi siapa. Mungkin rutin tersebut membuatkan saya berasa kosong. Tetapi, alhamdulillah, saya reda dan menerima ketentuan Allah.

Adakah anda pernah terfikir keadaan sambutan hari raya tanpa ketiadaan ibu pada tahun depan?

Ada terfikir tentang perkara tersebut. Tetapi, famili saya iaitu adik-beradik masih duduk di kediaman arwah ibu. Setiap kali raya nanti saya tetap akan balik ke rumah itu walaupun ibu dan ayah telah tiada.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu?

Selain sibuk dengan sebagai penyampai di stesen radio Zayan, saya juga menjalankan perkhidmatan pengurusan jenazah Darul Jenazah (khairat kematian). Menerusi bayaran sebanyak RM59 setahun, urusan pengebumian akan diselesaikan dari mula sehingga selesai.