4 Kali Disiasat SPRM, Syed Saddiq Yakin Ibubapanya Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin ibu bapanya tidak terlibat dalam sebarang kes rasuah atau salah guna kuasa.

Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan dalam satu kenyataan di media sosial hari ini mendoakan ibu bapanya tabah menjalani siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hari ini adalah kali keempat mama dan abuyah dipanggil untuk membantu siasatan SPRM. Macam biasa, kami sekeluarga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan.

“Walaupun Saddiq tidak dapat bersama mama dan abuyah pagi ini kerana urusan kerja, Saddiq tahu yang mama dan abuyah kuat dan berani kerana benar.

“Saddiq doakan kemudahan kepada pihak SPRM untuk menyiasat dan kekuatan kepada mama dan abuyah sepanjang hari,” katanya.

Bapa kepada Syed Saddiq iaitu Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff dan ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz disiasat SPRM bagi memberi keterangan berhubung wang RM250,000.

Wang tersebut dilaporkan hilang di kediaman Syed Saddiq pada  Mac lalu.

Sementara itu, SPRM pada awal bulan ini menjumpai dan menyita wang berjumlah RM600,000 dari kediaman dua ahli sebuah parti politik.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, penemuan wang itu dipercayai hasil daripada penyelewengan dalam akaun parti politik tersebut.

kredit projekmm