4 Suspek Yang Dituduh Merogol, Membunuh Dan Membakar Mayat Seorang Doktor Haiwan, Akhirnya Ditembak Polis Dalam Satu Kejadian

NEW DELHI – Polis di India menembak mati empat lelaki yang didakwa terlibat dalam kes rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang wanita berusia 27 tahun yang mencetuskan protes di seluruh negara.

Kesemua suspek terbunuh ketika cuba melarikan diri pada tengah malam di bandar selatan Hyderabad.

“Mereka ditembak dalam insiden berbalas tembakan dengan polis selepas cuba merampas senjata daripada pengawal. Namun, keempat-empat suspek disahkan meninggal dunia sebelum pasukan perubatan sempat tiba,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis di Hyderabad, Prakash Reddy.

Empat suspek utama itu ditahan minggu lalu atas tuduhan merogol, membunuh dan membakar mayat seorang doktor haiwan, Dr Potula Priyanka Reddy selepas mereka menawarkan diri untuk membantu mangsa menukar tayar motosikal.

Dalam kejadian hujung bulan lalu, mayat Reddy ditemui seorang penjual susu pada jam 6 pagi (waktu tempatan) yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.

Polis Cyberabad, VC Sajjanar berkata, mangsa dalam perjalanan pulang apabila dibunuh berhampiran Hyderabad sebelum mayatnya dibuang dan dibakar 24 kilometer dari tempat kejadian.

Susulan penemuan itu, empat lelaki itu ditahan termasuk seorang pemandu lori dikenali sebagai Mohammed Pasha. – Agensi

Artikel Berkaitan   Gadis Buat 60 Kali Pembedahan Plastic Sejak Umur 13 Tahun Semata-Mata Nak Jadi Boneka Impiannya