45 Hari Berpisah Dengan Anak, Akhirnya Wanita Ini Terkabul Juga Doanya

DUBAI: Selama 45 hari terpisah dengan anak berusia dua tahun kerana sekatan perjalanan akibat Covid-19, seorang penduduk bandar ini sangat bersyukur apabila polis Dubai memberi kebenaran untuknya pulang dari Pakistan.

Sana Kaleem Khan terpisah dengan anak lelakinya sejak 20 April lalu apabila dia kembali ke kampung halaman di Karachi, Pakistan kerana kecemasan perubatan.

Kisahnya pernah dilapor Gulf News pada 30 Mei lalu yang kemudian menarik perhatian Ketua Komander Polis Dubai, Leftenan Jeneral Abdullah Khalifa Al Merri.

Abdullah Khalifa mengarahkan bantuan segera diberikan kepada wanita itu dan apabila pemerintah membenarkan warganya pulang pada 1 Jun dengan permit, sebuah pesawat diatur untuk mengambil Sana di Karachi.

“Saya terdesak dan terlalu merindui anak yang rapat dengan saya. Saya memohon permit pulang sebelum menerima panggilan daripada polis Dubai memaklumkan ketua mereka mahu membantu saya kembali ke Dubai.

“Beberapa hari kemudian, permit saya diluluskan dan saya terbang pulang pada 6 Jun lalu menaiki pesawat Emirates yang di dalamnya hanya dua penumpang iaitu saya dan seorang lagi,” katanya.

Ketibaan Sana disambut suaminya, Khaleem dan polis, malah dia kini menjalani kuarantin wajib.

Katanya, dia kini menghitung hari bertemu anak kesayangan selepas habis tempoh kuarantin tidak lama lagi.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Gara-Gara Mencuri Telefon Bimbit, Lelaki Maut Ditikam