Suami Tunai Hasrat Isteri Nak Sambut Ulangtahun Kedua Perkahwinan Bersama Anak… Tapi Di Pusaranya

Kuala Lumpur: Sambutan ulang tahun kedua perkahwinan lelaki ini cukup menyayat hati apabila menyambutnya di pusara isteri tercinta yang meninggal dunia, Januari lalu.

Lebih memilukan, Mohamad Izrul Mohd Taib, 30, membawa bayinya, Annur Ayesha berusia sembilan bulan ke pusara isterinya, Norehan Zainal, 26, di Felda Jengka 19, 8 September lalu.

Norehan meninggal dunia 14 Januari lalu selepas 40 hari melahirkan anak pertama mereka secara normal akibat darah tinggi.

Penyelia ladang di Bandar Melati, Keratong itu berkata, tindakannya itu umpama menunaikan hasrat arwah isterinya yang tidak kesampaian.

“Saya sebak, hajat isteri mahu kami sambut ulang tahun kedua perkahwinan tahun ini bersama anak tidak kesampaian kerana dia pergi dahulu.

“Demi menunaikan hajatnya itu, saya mengambil cuti pada 8 September lalu untuk melawat pusara arwah bersama anak kami.

“Paling menyentuh hati, anak begitu ceria dan bermain-main batu nesan seolah-olah memahami arwah ibunya disemadikan di situ,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia tetap meneruskan perancangan bersama arwah untuk membesarkan anak mereka walaupun kini bersendirian.

“Ketika hayatnya, banyak perkara yang kami rancangkan demi masa depan anak termasuk bercuti dan membesarkan anak bersama.

“Insya-Allah, saya akan teruskan perancangan kami itu walaupun secara sendirian.

“Pesanan terakhirnya, supaya menjaga anak kami dengan baik tidak akan pernah saya lupakan dan akan sedaya upaya saya tunaikan,” katanya.

Mohamad Izrul berkata, dia semakin menerima ketentuan takdir hidupnya namun mengakui sukar melupakan kenangan bersama isterinya itu.

“Saya reda dan anggap ini bahagian saya tetapi jauh di sudut hati sukar melupakan kenangan bersama arwah isteri apatah lagi melihat pakaian dan rumah kami.

Artikel Berkaitan   Subhanallah.. Inilah Imam Besar Masjidil Haram Pertama Yang Berasal... Anda Pasti Terkejut

“Namun, melihat anak hati saya terubat kerana perangai dan mukanya seiras isteri yang memberikan lagi kekuatan kepada saya menempuhi ujian ini,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan terkini anaknya, bapa tunggal itu berkata, Annur Ayesha tidak banyak kerenah dan mudah dijaga.

“Alhamdulillah, masalah jangkitan kuman dialaminya sebelum ini sudah pulih namun anak saya perlu mengambil ubat dan tiga bulan sekali bertemu pakar kerana masalah perkembangan dialaminya.

“Annur Ayesha tidak banyak kerenah dan mudah dijaga seolah-olah memahami keadaan yang berlaku. Apabila saya bekerja, ibu saya akan bantu menjaganya,” katanya.

Perkongsian Mohamad Izrul ketika menziarahi pusara arwah isterinya bersama anak mereka pada ulang tahun kedua perkahwinan mereka tular hingga meruntun hati warganet.

kredit harian metro