Pertuduhan Terhadap Individu-Individu Yang Menyebabkan Pencemaran Air Selangor Akan Bermula

Kuala Lumpur: Empat lembaga pengarah dan seorang pengurus kilang akan didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang, esok, berhubung kes pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang, Selangor pada 3 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan kes berkenaan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

“Pertuduhan pertama terhadap lima tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Sementara itu, pertuduhan kedua ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, empat lagi tangkapan lain dibebaskan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah untuk dijadikan sebagai saksi.

“Pertuduhan itu akan dilakukan pada 8 pagi 15 September (esok) di Mahkamah Seksyen Selayang,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan beberapa individu dalam tangkapan berasingan berhubung kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong.

Susulan pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 September lalu, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   “Saya Tengah Tidur Tiba-Tiba Bunyi Kaca Pecah” 2 Orang Penyamun Berjaya Ditangkap Polis