Gara-Gara Mencuri Dan Kelakuan Tidak Senonoh, Aliff Aziz Sabit Dijatuhkan Hukuman Penjara

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz dihukum penjara dua minggu oleh mahkamah Singapura kerana kesalahan mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Artis kelahiran Singapura itu juga didenda S$500 (RM1,517.67) selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu pada 7 Ogos lalu, lapor Straits Times.

Hakim Victor Yeo dimaklumkan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) bahawa Aliff mengalami gangguan emosi.

Namun ahli psikiatri menyatakan itu bukan alasan untuk Aliff melakukan perbuatan sedemikian.

Hakim juga dimaklumkan penyanyi Sayang Sayang itu memiliki rekod kesalahan berulang.

Ini bukan pertama kali Aliff, nama sebenar Mohamad Aliff Aziz, 29, melanggar undang-undang. Pada 2014, beliau didenda S$2,000 kerana mencuri dua telefon bimbit.

Pada 7 Jun tahun lalu, Aliff bertemu aktres Indonesia Raja Yunika Perdhana Putri, 32, di sebuah hotel di Nanson Road pada tengah malam untuk berbincang tentang kerja.

Apabila Raja Yunika masuk bilik untuk berehat, Aliff membuka beg tangan dan mencuri wang tunai S$300 dan 1 juta rupiah.

Kemudian pada 10 November tahun lalu, bapa anak dua itu ditemui mabuk di bawah jambatan pusat beli-belah Orchard Tower kira-kira 5.30 pagi.

Seorang anggota polis Sarjan Theodore Lee, 24, yang melihat Aliff menjerit-jerit terus mengarahkahnnya agar bertenang.

Aliff patuh arahan itu dan berlalu pergi. Namun setengah jam kemudian, dia berjalan ke arah sebuah teksi dan menendang kenderaan itu. Tiada kerosakan dilaporkan.

Beliau juga bergaduh dengan kenalannya pada pagi sama dekat Orchard Tower dan kemudian ditahan.

Aliff mula dikenali pada 2007 selepas menang Anugerah, iaitu pertandingan nyanyian Singapore Idol versi Melayu di saluran televisyen Suria.

Artikel Berkaitan   Remaja Wanita Ini Dituduh Sebar Video Perbuatan Tidak Senonohnya Kepada Kanak-Kanak Bawah Umur

Beliau juga mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan Malaysia dengan konflik rumah tangganya bersama Bella Astillah.

kredit projekmm