“Datang Ke Mahkamah Benda Yang Memenatkan, Jangan Ada Dendam Dan Marah Kerana Ia Akan Bawa Kita Ke Belakang”

Kuala Lumpur: “Insya-Allah, ini hari terakhir datang mahkamah. Selepas ini tak datang lagi sini. Benda pun dapat diselesaikan dengan baik dan harmoni. Saya dan Sharnaaz pun baik dan kami buat benda itu untuk anak kami.”

Itu kata bekas isteri pelakon, Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Mohd Noor, 36, mengenai tuntutan nafkah edah, hadanah (hak penjagaan) dan nusyuz yang berjaya diselesaikan dengan baik di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, hari ini.

Sharnaaz selaku defendan juga bersetuju untuk menarik balik tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Nabila.

Selain itu, defendan juga bersetuju memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan. Ini termasuk nafkah sebanyak RM1,200 sebulan dan diberi akses berjumpa anak mereka sehingga usianya mencapai empat tahun.

Sharnaaz turut bersetuju mengeluarkan namanya sebagai pemilik bersama untuk sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Nabila yang juga kakak kepada selebriti popular, Neelofa berkata, dia lega kerana tidak perlu lagi hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes mereka.

“Proses perceraian, hak anak dan datang ke mahkamah adalah benda-benda yang memenatkan. Ia mengambil energi serta emosi saya terganggu. Setiap kali nak datang saya berat hati.

“Jangan ada dendam dan marah kerana ia akan bawa kita ke belakang. Paling tak bagus kerana apabila bangun tidur anda akan masam, marah dan berdendam. Anda akan cari perkara yang boleh untuk kenakan bekas suami. Ia tak baik lagi-lagi untuk anak kita,” katanya.

Sementara itu, Sharnaaz, 37, berkata, dia bersyukur kerana peguam kedua-dua belah pihak dapat memainkan peranan menyelesaikan kes dengan baik.

“Buat Nabila saya ucapkan terima kasih kerana kita dapat kata sepakat. Ada benda yang selama ini tak jelas, diperjelaskan dan diletakkan dalam kertas supaya semuanya takkan jadi masalah suatu hari nanti. Hari ini saya sangat bersyukur kerana bagi kami keutamaan kami ialah pada Jebat. Walaupun saya dengan Nabila tak dapat teruskan sebagai suami isteri, tapi saya tetap kawan dia,” katanya.

Artikel Berkaitan   Rasai Manfaat Asalkan Istiqomah Amalkan 2 Ayat Terakhir Surah At-Taubah

Menurutnya Nabila seorang kawan yang baik dan dia ingin meneruskan hubungan ini.

“Saya kenal dengan dia dulu pun sebagai seorang kawan. Tak guna nak bergaduh kerana yang rugi ialah Jebat. Saya tak nak perkara ini berlaku. Tumpuan kami 100 peratus pada Jebat,” katanya.

Sharnaaz dan Nabila bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan

Pasangan ini berkahwin pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun.

kredit harian metro