Cipta Roti Jala Sebagai Hantaran Perkahwinan, Ramai Kagum Susunan Macam Hantaran Bunga Ros

Kuala Lumpur: Jarang kita lihat kuih tradisional seperti roti jala dijadikan sebagai hantaran perkahwinan mahupun pertunangan disebabkan rupa bentuk yang kurang menarik.

Namun, hasil sentuhan dan idea kreatif Nur Amira Syafina Arsad, 28, ia berjaya memikat hati penggemar kuih itu yang inginkan kelainan dalam hantaran atau hadiah di majlis hari jadi.

“Kuih tradisional tempatan kurang dijadikan sebagai satu bentuk hadiah disebabkan rupa bentuknya nampak biasa dan mudah didapati.

“Disebabkan itu, idea mengubah roti jala kepada kuntuman bunga mawar tercetus supaya orang lain dapat menikmati kuih tempatan dengan rupa bentuk moden,” katanya.

Keunikan gubahan roti jala moden itu tular selepas Nur Amira memuat naik gambar ‘Rose-ti Jala’ di akaun Twitter miliknya sehingga meraih lebih 14,000 ribu tanda suka dan 8,000 ulang ciap.

Dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis (Kepujian) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam lebih memilih bekerja sendiri dalam menjana pendapatan.

“Sejak 2015 lagi, saya bekerja sendiri dengan mengambil upah melukis ‘henna’ atau inai tangan kerana seni lukis sudah menjadi minat saya sejak kecil.

“Maklum balas dan permintaan yang positif menyebabkan saya menjadikannya kerja sepenuh masa,” katanya.

Menurut Nur Amira, perniagaan menjual roti jala bermula pada Ramadan lalu selepas pendapatannya terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hampir empat bulan tiada tempahan pakai inai daripada pelanggan disebabkan majlis perkahwinan dan pertunangan ditunda ke hari lain.

“Menyedari tiada pendapatan ketika itu, saya belajar resipi roti jala daripada kakak ipar yang juga menyediakan perkhidmatan katering di Rawang dan memasarkannya secara dalam talian.

“Pada awalnya, saya hanya menjual roti jala bentuk biasa saja dan pada Ogos lalu idea menghasilkan ‘Rose-ti Jala’ itu timbul,” katanya.

Artikel Berkaitan   Uncle Kentang Dedah Kisah Yang Merobek Hatinya, Suami Isteri Tak Ada Duit, Isteri Terpaksa Bersalin Di Rumah, Akhirnya….

Nur Amira berkata, dia tidak menyangka sentuhan roti jala moden itu mendapat permintaan tinggi pelanggan sehingga terpaksa menolak beberapa pesanan.

“Saya menghasilkan roti jala berkenaan seorang diri dan terpaksa menolak beberapa tempahan disebabkan tidak menang tangan.

“Semalam saja, saya hasilkan 160 kuntum mawar roti jala yang mana 60 daripadanya ditempah untuk majlis sempena ulang tahun ke-60,” katanya.

Menurutnya, sejak perkongsiannya tular lima hari lalu, dia menerima lebih 20 pesanan untuk hantaran majlis perkahwinan.

“Selain perkhidmatan inai dan tempahan roti jala, saya juga menjual makanan tradisional Johor iaitu kacang pool.

“Untuk satu kotak yang mengandungi 49 kuntum roti jala bersama kari ayam kentang dijual dengan harga RM35 tidak termasuk penghantaran,” katanya.

kredit harian metro