Peniaga Roti Canai Buat “Part-Time” Jual Ketum Dalam Kedai

Kulim: Seorang peniaga roti canai di sini dikesan menjual air ketum secara sembunyi di belakang rumahnya di Jalan Perak 6, Taman Perak, di sini, ditahan polis semalam.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Kulim Hi-Tech yang menjalankan Ops Tapis pada 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, anggotanya yang melakukan pemeriksaan di rumah lelaki itu menemui wang tunai RM50 yang digenggam lelaki itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah itu menemui tong ais di ruang dapur rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 120 bungkus plastik lut sinar mengandungi cecair disyaki air ketum yang dianggarkan 34 liter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas semua barangan berkenaan dan wang tunai RM50 dipercayai hasil jualan air ketum itu.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lelaki itu mengaku menjalankan aktiviti menjual air ketum di sekitar kawasan tempat tinggalnya itu, sejak enam bulan lalu.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati dia negatif daripada dadah.

“Selain itu, dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Lelaki Nekad Pelihara Rambut Hingga Pecah Rekod Dunia Memiliki Rambut Paling Tinggi