Radin Dan Hawa Setuju Undang-Undang Tentang Basikal Mula Diperkenalkan

Larangan berbasikal di lebuh raya yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Khamis lalu disambut baik beberapa selebriti yang aktif dengan aktiviti berbasikal.

Pengacara dan penyampai radio, Radin berkata, tindakan itu sebagai salah satu langkah terbaik untuk memastikan tiada kemalangan membabitkan penunggal basikal berlaku.

“Saya tidak setuju apabila ada individu yang melakukan aktiviti berbasikal sesuka hati dengan membuat laluan sendiri di lebuh raya.

“Tindakan mereka yang mengganggu kenderaan lain boleh mengakibatkan kemalangan. Kebanyakan yang degil itu mungkin kerana mereka terlalu teruja dengan aktiviti itu sehingga tidak tahu mana laluan yang boleh atau tidak. Lagipun rata-rata yang sudah lama aktif dalam aktiviti berbasikal sudah tahu laluan yang sepatutnya mereka gunakan,” katanya.

Menurut Radin, dia dan rakan-rakan memilih kawasan yang tidak mengganggu pengguna jalan raya selain berkayuh di beberapa lokasi terkenal.

“Saya cadangkan mungkin kerajaan boleh sediakan laluan khas di lebuh raya yang lebih mesra untuk melakukan aktiviti berbasikal.

“Banyak juga laluan yang popular untuk berbasikal seperti di Genting Peras, Genting Sempah dan Putrajaya. Saya harap kepada individu senior yang sudah biasa dengan aktiviti ini dapat mendidik mereka yang baru berjinak-jinak dan minat terhadap aktiviti berbasikal

“Sesiapa yang masih baru dalam aktiviti berbasikal seeloknya banyakkan bertanya dan jangan disebabkan kesalahan satu dua orang, aktiviti berbasikal ini memberi imej buruk kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pengacara dan pembaca berita TV3, Hawa Rizwana mengingatkan peminat aktiviti basikal supaya berbasikal di tempat yang dibenarkan dan selamat.

“Saya percaya setiap undang-undang yang dikuatkuasa pasti memberi kebaikan selain demi keselamatan semua pihak.

“Saya berharap kepada semua yang kini aktif berbasikal supaya berkayuh di tempat selamat dan dibenarkan. Patuhi undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan   Model Menangis Selepas Dijatuh Hukuman Penjara Gara-Gara Memandu Lawan Arus

Hawa juga berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak laluan basikal bagi memudahkan peminat aktiviti yang semakin popular ini.

Penunggang basikal yang ingkar dengan larangan itu boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih dari tiga bulan atau kedua-duanya.

kredit harian metro