“Alahai Sedihnya Dengan Perangai Manusia” Penguin Mati Tercekik Pelitup Muka Dalam Keadaan Menyayat Hati

Sao Paulo: Sekiranya anda menggunakan pelitup muka, janganlah membuangnya merata-rata kerana ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah mungkin ada binatang yang mati tercekik akibat menelannya sebab disangka makanan.

Itu yang berlaku di pantai Juquei di timur laut Sao Paulo, Brazil, 9 September lalu apabila seekor penguin ditemui mati akibat tercekik pelitup muka N95 yang dibuang manusia tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sendiri.

Yahoo News melaporkan Institut Argonauta yang mengambil bangkai penguin spesies Magellan itu ketika ditemui sangat kurus dan ditutupi pasir.

Selepas dibawa ke makmal untuk bedah siasat, badan bukan kerajaan (NGO) marin itu menemui pelitup muka N95 di dalam perut penguin malang berkenaan.

“Pelitup muka itu mungkin dibuang oleh pelancong yang mengunjungi pantai semasa cuti 7 September lalu. Akibat ramai mengunjungi pantai, segelintir pula tidak bertanggungjawab membuang sampah termasuk pelitup muka akhirnya mengorbankan nyawa penguin Magellan.

“Antara 16 April hingga 13 September, penyelidik menemui 113 pelitup muka yang dibuang di beberapa pantai Sao Paulo. Apa yang lebih memilukan ialah penguin Magellan digolongkan sebagai spesies hampir terancam dan mereka berhijrah setiap tahun dari wilayah Patagonia, Argentina untuk mencari makanan di sini,” kata jurucakap Institut Argonauta.

Untuk individu memakai pelitup muka pakai buang sebagai langkah keselamatan diri dan dalam masa sama mahu bertanggungjawab terhadap hidupan liar, antara boleh dilakukan adalah membuangnya di dalam tong sampah.

Sebelum membuangnya, orang ramai dinasihatkan memotong tali pelitup muka.

Selain itu, mereka digalakkan menggunakan pelitup muka fabrik yang boleh dibasuh dan digunakan semula.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Entah Apa Yang Merasuk Suami Sanggup Menikam Isterinya Potong Anggota Badan, Menyiat Kulitnya. Rupanya Ini Punca Sebenar