“Che Ta Sebagai Ibu Saya Tahu Dia Takkan Berdiam Diri, Saya Tidak Suka Melayan, Yang Kecam Itu Guna Akaun Palsu”

Kuala Lumpur: Pelakon Zain Saidin menjelaskan dia memang memberi ruang sepenuhnya kepada isteri, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta untuk menjawab apa saja kritikan mahu pun kecaman netizen berkaitan perihal membabitkan keluarga mereka.

Zain, 36, ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini berkata dia selesa apabila Che Ta yang lebih ke depan untuk menjawab segala-galanya berkaitan kritikan mahu pun kecaman yang dilemparkan segelintir netizen itu.

“Saya tahu apa saja kritikan dan kecaman netizen terhadap keluarga kami termasuk kepada anak saya, Aaisyah Dhia Rana, 6, di media sosial.

“Cuma, saya tidak suka melayan semua perkara remeh ini kerana tak kenal pun mereka. Malah, kebanyakan yang komen,  mengkritik serta kecam itu menggunakan akaun palsu.

“Apapun, Che Ta sebagai ibu saya tahu dia takkan berdiam diri. Dia pasti mahu menjawabnya dan saya memberikan ruang berkenaan. Apapun, semua jawapan diberi Che Ta itu saya dah setuju,” katanya.

Menurut Zain, dia pun ada kalanya tidak faham dengan tindakan segelintir netizen yang sanggup mengkritik dan kecam Aaisyah yang masih kecil dan tak tau apa-apa itu.

“Umpamanya, macam video Tik Tok yang Aaisyah menari itu. Pada saya, dia hanya menari saja dan biasalah budak perempuan suka menari dan pakaiannya pun okay, tapi tetap kena kecam.

“Apapun, saya mengambil pendekatan berdiam diri bukan bermakna tak tahu apa-apa langsung. Termasuk, tidak ambil peduli mengenainya.

“Saya tahu semua itu, tapi hanya tak suka nak layan saja. Bagi saya lebih baik beri fokus pada perniagaan nasi kambing bakar yang diusahakan kerana mendapat sambutan,” katanya.

Zain berkata kini dia berusaha memikirkan inisiatif bagaimana hendak memantapkan lagi perniagaan itu terutama aspek kualiti makanan, kepuasan pelanggan dan perkhidmatan disediakan.

Artikel Berkaitan   “Baby K Di Sini. Saya Selamat Melahirkan Seorang Bayi Lelaki Paling Sempurna” Isteri Ammar Luah Kesyukuran

Terdahulu, Zain cukup dikenali dengan watak Henry  Middleton dalam drama Oh My English! pada 2012 selama enam musim selain drama Kiah Pekasam yang mempertemukannya dengan Che Ta pada 2009.

Zain dan Che Ta bernikah pada 13 Disember 2013 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan Aaisyah pada 2014.

Selain itu, Zain juga memiliki dua anak tiri lelaki, daripada perkahwinan terdahulu Che Ta.

kredit harian metro