Kilang Bihun Tuntut Permohonan Maaf Daripada 4 Individu Yang Fitnah Kilang Mereka Terletak Sebelah Kandang Babi

GEORGE TOWN, 28 Sept — Syarikat pengeluaran bihun beras Eka Noodles Bhd telah menghantar notis tuntutan permohonan maaf kepada empat pengguna aplikasi Facebook kerana menularkan maklumat palsu mengenai produk syarikat itu.

Pengerusinya Saffie Bakar berkata kesemua penerima notis perlu memadam kiriman yang telah menjatuhkan jenama syarikat Eka Noodles dan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dalam masa dua minggu yang mereka juga perlu memberikan penjelasan di laman Facebook Eka Malaysia.

Katanya, isu bermula dengan perkongsian tular bahawa sebuah kilang yang didakwa EKA Noodles Bhd telah diserbu oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan pasukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Hasil serbuan mendapati makanan yang dihasilkan diletakkan di atas lantai dan kilang beroperasi berhampiran kandang khinzir.

“Itu bukan kilang kami. Kilang pengeluaran kami terletak di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, Kedah dan langsung tidak berhampiran dengan mana-mana kandang khinzir…kilang yang telah diserbu itu tidak berkaitan sama sekali dengan kami.

“Jadi kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tertentu yang cuba mengapi-apikan isu perkauman dan syak wasangka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Saffie, pihaknya telah membuat laporan polis pada 24 September atas penularan berita palsu itu dan penerima notis yang gagal melaksanakan tuntutan boleh disaman tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menegaskan bahawa semua produk Eka Noodles Berhad telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 2000 dan selama 20 tahun beroperasi, kilang itu tidak pernah diarahkan tutup.

Artikel Berkaitan   Gambar Kanak-Kanak Istimewa Menyuap Makanan Kepada Rakannya Yang Juga Senasib Dengannya Jadi Perhatian

Pada 17 September lalu, BKKM Jabatan Kesihatan Pulau Pinang telah mengarahkan sebuah kilang menghasilkan mi sua yang terletak di Kampung Selamat untuk tutup operasi selama 14 hari kerana keadaan premis yang kotor dan mi diproses di atas lantai serta terletak berhampiran kandang khinzir.

kredit projekmm