Kontroversi Antara Ustaz Ebit Lew Dengan Naib Cancelor UPSI Selesai, Dan Tutup Buku

PUTRAJAYA – Kontroversi membabitkan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew dan pihak pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menemui titik noktah malam tadi.

Ia selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dan mencapai kata sepakat berhubung penghantaran pulang pelajar UPSI menggunakan bas yang disewa khas oleh pendakwah tersebut.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pada pertemuan itu kedua-dua pihak berlapang dada dan mengakui bahawa kontroversi itu adalah disebabkan salah faham.

“Ebit Lew menghantar surat permohonan untuk membawa pulang pelajar ke Kelantan serta Terengganu kepada pihak pengurusan UPSI malam tadi dan kami amat mengalu-alukan.

“Proses penghantaran pulang pelajar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk pelaksanaan ‘sanitizing’ yang dipantau pusat kesihatan dan bomba serta nama pelajar direkodkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini malam tadi.

Kontroversi membabitkan Ebit Lew dan pihak pengurusan UPSI tercetus kelmarin selepas pendakwah itu memaklumkan di media sosial beliau terpaksa menangguhkan penghantaran pulang pelajar UPSI kerana perlu mendapat kelulusan pengurusan universiti terlebih dahulu.

Mohammad Shatar berkata, sebanyak dua buah bas yang disewa khas Ebit Liew memasuki kawasan universiti bagi mengambil kira-kira 30 pelajar UPSI pada pukul 11 malam untuk di hantar pulang.

Sementara itu, Ebit Liew dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau menzahirkan rasa syukur dapat menghantar pelajar terbabit pulang ke kampung masing-masing.

Menurutnya, beliau memberi wang saku kepada pelajar terlibat dan akan menyediakan lima buah bas lagi untuk menghantar pelajar UPSI atau pelajar universiti lain yang memerlukan secara percuma.

“Terima kasih Naib Canselor dan pihak pentadbiran UPSI termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan warga UPSI yang amat saya hormati dan sayangi.

Artikel Berkaitan   “Inilah Individu Yang Bertuah Memandikan Sendiri Jenazah Nabi Muhammad SAW Semasa Kewafatannya”- Mufti Wilayah

“Naib Canselor minta kerjasama jika ada peluang untuk saya membimbing pelajar UPSI kerja khidmat masyarakat,” katanya. – K! ONLINE

kredit kosmo