Walaupun Sibuk Berulang Alik “Shooting”, Yoe Parey Ucap Syukur Lulus Lesen Motor

PASIR PUTEH – Impian pelakon popular siri Drama Spontan di YouTube, Yoe Parey untuk menungang motosikal akhirnya tercapai apabila dia lulus ujian lesen memandu bagi motosikal kelas B2 semalam.

Menurut Yoe atau nama sebenarnya, Mohammad Ashrul Hakim Lukman, 22, berkata, semua kos belajar, proses pengurusan dan bayaran lesen ditanggung sepenuhnya oleh Akademi Memandu Kist di Bachok.

“Yoe lulus lesen L sebelum mengikuti kelas Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) bersama-sama Orang Kelainan Upaya (OKU) selama enam bulan. Selepas itu saya belajar menunggang motosikal dan mengikuti ujian yang ditetapkan.

“Meskipun sibuk dengan lakonan dan sering berulang alik ke Kuala Lumpur selain memenuhi undangan persembahan, Yoe berjaya menghabiskan juga KPP untuk memiliki sekeping lesen menunggang motosikal yang sah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kedai keluarganya di Kampung Padang Pak Amat di sini hari ini.

Menurut Yoe yang baru muncul dengan filem Mael Totey The Movie, dia teruja dengan kejayaannya yang lulus ujian meskipun mengakui agak gementar sewaktu berhadapan dengan penguji Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, pemilikan lesen B2 memberi kekuatan semangat mengendalikan motosikal secara berhemat dan mengikut peraturan.

“Terima kasih kepada penaja yang memberi tawaran kepada Yoe untuk mendapatkan lesen ini. Bukan setakat tawaran percuma, akademi ini menjemput dan menghantar Yoe pulang bermula dengan belajar hingga memiliki lesen.

“Yoe ingin menasihati remaja lain agar mematuhi peraturan jalan raya dengan menduduki kelas di sekolah memandu dan mendaftar sebagai calon ujian untuk mendapatkan lesen yang sah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Memandu Amkist, Noor Haslina Abdullah berkata, proses pengujian dan pemilikan lesen sepatutnya boleh dihabiskan dalam tempoh tiga bulan sahaja, namun prosedur kali ini terpaksa dipanjangkan kerana patuh prosedur operasi standard ( SOP) yang ditetapkan kerajaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Artikel Berkaitan   “Suami Terlalu Baik, Tidak Mahu Bergaduh, Isteri Tidak Tahan Mahu Mohon Cerai”

Menurutnya, akademi itu turut membantu menyelesaikan dokumen pesuruhjaya sumpah, ujian kesihatan dan temuduga Yoe dengan pegawai JPJ.

“Yoe tidak keseorangan kerana ramai lagi rakan istimewa sepertinya mengikuti kelas khas. Bukan setakat calon yang bermasalah pembelajaran malah kita menggunakan tenaga guru khas bahasa isyarat untuk mengajar calon bisu dan pekak,” katanya.

Bapa Yoe, Lukman Hamzah, 54, berkata, dia turut berkongsi kegembiraan apabila anak kedua daripada tujuh beradik itu memiliki lesen B2, namun hanya membenarkan Yoe menunggang motosikal di sekitar rumah dan kedai mereka sahaja.

kredit kosmo