Presiden Perancis Bakar Kemarahan Umat Islam, Barangan Perancis Diboikot, Jutaan Turun Berdemontrasi Kecam Karikatur Nabi Muhammad

Dhaka: Puluhan ribu menghadiri tunjuk perasaan di ibu negara Bangladesh dalam demonstrasi terbesar sejak Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW.

Penunjuk perasaan membakar patung Macron ketika menyertai perarakan yang dipercayai disertai 40,000 orang.

Ratusan anggota keselamatan terpaksa memasang penghadang kawat duri untuk menyuraikan peserta tunjuk perasaan yang mahu menghampiri Kedutaan Perancis.

Bagaimanapun, peserta tunjuk perasaan itu bersurai dengan aman sebelum dapat menghampiri bangunan berkenaan.

Tunjuk perasaan dianjurkan oleh parti Islam terbesar negara itu, Islami Andolon Bangladesh (IAB), dan bermula di masjid terbesar negara berkenaan, Baitul Mukarram.

Ataur Rahman, yang juga pemimpin kanan parti itu memberitahu peserta tunjuk perasaan: “Macron adalah antara beberapa pemimpin yang menyembah syaitan.”

Rahman juga mahu Kerajaan Bangladesh mengusir Duta Perancis sementara seorang lagi pemimpin demonstrasi itu, Hasan Jamal berkata, peserta demonstrasi akan menghancurkan bangunan berkenaan jika duta terbabit tidak diusir.

Demonstrasi sama diadakan di seluruh dunia kerana umat Islam marah dengan kenyataan Macron yang membenarkan tindakan menghina agama itu susulan pembunuhan seorang guru di Paris kerana menunjukkan kartun didakwa Nabi Muhammad SAW.

GAMBAR Macron dibakar penduduk Muslim di Libya.

Di Syria, orang ramai membakar gambar Macron manakala di ibu negara Libya, Tripoli, bendera tiga warna juga dibakar.

Produk buatan Perancis pula ditarik semula dari rak pasar raya di Qatar, Kuwait dan negara Teluk yang lain.

Presiden Turki Tayyip Erdogan juga membandingkan layanan terhadap Muslim di Eropah dengan apa yang dialami oleh orang Yahudi sebelum Perang Dunia Kedua, selain menyeru supaya orang ramai memboikot produk buatan Perancis.

Namun, Erdogan pula dijadikan sasaran oleh majalah satira Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan karikatur dengan imej pemimpin terbabit di muka hadapan edisi terbaharu penerbitan itu pada Rabu.

Artikel Berkaitan   Nak Bayar Cukai Tanah, Lelaki Ini Terkejut Tanahnya “Hilang” Hak Milik Gara-Gara Dicuri Tanpa Sedar

Lakaran itu menunjukkan pemimpin Turki itu hanya memakai baju-T dan berseluar, minum bir dan menyelak skirt seorang wanita yang memakai hijab seterusnya mendedahkan punggung individu terbabit.

Media sebelum ini melaporkan seorang guru sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki Rusia berketurunan Chechen pada 16 Oktober lalu.

Guru terbabit sebelum itu menunjukkan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan 12 orang dibunuh dalam serangan di pejabat Charlie Hebdo, pada 2015.

Susulan kejadian, Macron mengeluarkan kenyataan yang mempertahankan kebebasan bersuara dan gaya hidup sekular di negara itu, sambil menegaskan bahawa negara itu ‘tidak akan mengharamkan kartun.’

Selain itu, pihak berkuasa negara itu menggerakkan operasi besar-besaran termasuk menyiasat 50 organisasi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal Islam dan menutup sebuah masjid.

Awal bulan ini, Macron mendedahkan pelan untuk mempertahankan nilai sekular Perancis daripada ancaman kumpulan pemisah Islam dan melabelkan Islam sebagai agama yang sedang mengalami krisis.

Dalam pada itu, Tehran memanggil diplomat kanan Perancis dan Kementerian Luar Arab Saudi menerusi Twittter, menyelar karikatur Nabi Muhammad SAW.

Macron juga menyebabkan kemarahan di Pakistan dan Maghribi, manakala Kumpulan Hamas di Palestin, kumpulan Taliban di Afghanistan dan gerakan Hizbullah di Lubnan turut menyelar pemimpin Perancis itu.

Selain itu, tunjuk perasaan bagi membantah kenyataan Macron itu juga dijadual akan diadakan di Gaza, Tebing Barat dan selatan Yaman.

kredit harian metro