Penyanyi Era 90-An, Aida Agil Akui Sekarang Hanya Mahu Habiskan Sisa Umurnya Di Rumah PPR

JOHOR BAHRU – Penyanyi era 90-an, Aida Agil kini menghabiskan usia senjanya bersendirian di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sri Stulang, Stulang Laut di sini sejak setahun lalu.

Pelantun lagu Segalanya Pasti itu kini hanya bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan untuk membayar sewa rumah, bil air dan elektrik serta perbelanjaan harian.

Aida atau nama sebenarnya, Aidah Agil, 61, mendakwa, sejak bergelar artis ketika berusia 20 tahun, dia tidak pernah me­nerima wang royalti atau saguhati sebagai artis.

Katanya, dia hanya menerima bayaran lebih RM3,000 daripada syarikat rakaman selepas dia mengeluarkan album sekitar 27 tahun yang lalu.

“Itulah sahaja wang yang pernah saya dapat dan sampai sekarang saya tidak pernah terima royalti.

“Saya pun tidak tahu macam mana mereka (pihak bertanggungjawab) agihkan isu royalti ini. Saya pun tidak tahun saluran mana yang perlu saya utarakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.

Penyanyi bersuara emas itu juga pernah menghiasi industri hiburan tanah air sekitar tahun 1993 menerusi beberapa lagu antaranya ialah Kisah Malam Minggu, Penyakit Jiwa dan Sepanjang Jalan Kenangan.

Aida berdepan ujian getir dalam hidup selepas menghidap penyakit Bell’s Palsy pada tahun 2002 sehingga mengalami kelumpuhan pada sebahagian muka kerana saraf atau otot mukanya berhenti berfungsi.

Dia terpaksa berhenti me­ngusahakan kantin di sebuah sekolah selepas tahap kesihatannya semakin merosot.

“Selepas saya diserang Bell’s Palsy, saya tidak mampu berge­rak dengan baik. Saya buat rawatan susulan tetapi mengambil tempoh yang lama untuk pulih.

“Sebelum ini saya tinggal dengan adik di rumah pusaka di Kampung Majidee dan dia yang menjaga saya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan   “Kadang-Kadang Saya Fikir Apa Yang Mereka Nak Sampai Menghukum Saya Sampai Macam Ni? Sedih Saya, Kenapa Orang Macam Saya Tak Layak Pergi Ke Rumah Allah?”

Aida berkata, dia dan keluarganya pernah ditipu kontraktor sehingga mengalami kerugian sebanyak RM120,000.

“Kami adik-beradik ada nak baik pulih rumah pusaka dan kos­nya kira-kira RM120,000. Rumah yang ada itu dirobohkan untuk membina yang baharu, tetapi kami kena tipu dengan kontraktor, duit sudah bayar, namun rumahnya terbengkalai.

“Masa itu saya tinggal pindah-randah dan menumpang di rumah adik-beradik lain sebelum saya ditawarkan tinggal di rumah PPR oleh rakan baik saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin me­nyumbang bagi meringankan beban Aida boleh menghubunginya di talian 011-10741148.

kredit kosmo