Najib Bidas Penganalisis Politik Yang Mintanya Dibuang Parti Gara-Gara Sokong Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan seorang penganalisis politik yang berpandangan dirinya perlu dibuang daripada parti itu selepas memberi cadangan mewujudkan kerjasama dengan pemimpin pembangkang.

Jelas Najib, tiada asas untuk Umno mengambil tindakan terhadapnya memandangkan setiap ahli parti berhak memberi pandangan.

Najib yang juga bekas perdana menteri berkata, cadangan yang dibuat juga bukan dilakukan secara terbuka malah ia diutarakan dalam mesyuarat tertutup parti itu.

“Mencadangkannya sebagai satu daripada tiga cadangan untuk perbincangan dalaman pun kena buang parti?

“Hendak tanya penganalis seorang ini kalau yang puji dan sokong secara umum itu, bagaimana pula?” soal Najib di media sosial, semalam.

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain pada semalam berkata, Umno seharusnya memecat Najib kerana secara jelas menyokong pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tidak mustahil Najib juga telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar.

Terdahulu, Najib memuat naik keratan akhbar menunjukkan kenyataan beberapa pemimpin Umno yang pernah menyatakan hasrat bekerjasama dengan pembangkang.

kredit projekmm

Artikel Berkaitan   Video Detik-Detik Mendebarkan Pelumba Negara Jentera Berkecai, Hafizh Syahrin Terpelanting Tinggi Di Udara