Saya Tak Pernah Lakukan Usaha Nak Jadi Timbalan Perdana Menteri- Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan beliau sama sekali tidak pernah melakukan sebarang usaha untuk dikaitkan dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau sebaliknya berterima kasih kerana UMNO memberi sokongan untuk beliau wakili parti itu dalam Jemaah Kabinet.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus Kerajaan dan UMNO sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis COVID-19, bukan soal jawatan.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan media Presiden UMNO dan keputusan Majlis Tertinggi UMNO tempoh hari iaitu menyahut seruan Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik seterusnya bersatu memerangi COVID-19,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah akhbar bahawa, namanya antara tiga pemimpin UMNO yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Selain Hishammuddin, turut dilaporkan dalam pertimbangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan pemberian jawatan itu kepada UMNO, adalah salah satu pertimbangan terhadap sokongan mereka untuk Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, dan kestabilan politik negara.

Untuk rekod, UMNO kini mempunyai 39 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat. Dalam pada itu, parti tunjang Barisan Nasional itu sekali lagi dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini di Menara Dato Onn.

Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa mesyuarat malam ini, yang akan dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan membincangkan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan   Rakan Buat Khianat Pada Sandwish, Pemuda Ini Koma 4 Tahuan, Rosak Buah Pinggang Yang Serius

kredit astro awani