Muhyiddin Kini Dalam Keadaan ‘Tenat’ Gara-Gara PAS Bercinta Dengan UMNO Tapi “Main Mata” Dengan PN- YB AMANAH

KESETIAAN PAS terhadap Umno ‘umpama cinta pertama tidak mungkin terpadam’ punca kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tergugat.

Anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil, berkata keputusan Umno untuk mengukuhkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) namun pada masa sama tidak memberikan komitmen kepada Perikatan Nasional (PN) menunjukkan gabungan politik itu semakin rapuh.

Bahkan, katanya kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semakin tergugat dan hanya menunggu masa untuk dijatuhkan.

“Kedudukan Muhyiddin yang semakin goyang ini sebenarnya bukan hanya kerana permainan politik Umno, tetapi kerana PAS yang tidak setia sepenuhnya kerana masih bermain mata dengan Umno.

“Walaupun PAS memilih untuk turut menyertai PN, tetapi MN masih menjadi keutamaan, maka tidak mustahil Umno dan PAS sedang merencana strategi baharu untuk memintas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“PAS yang beberapa kali mengkhianati gabungan politik sebelum ini, sudah pasti mereka boleh melakukannya sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Faiz berkata, Muhyiddin kini dalam keadaan ‘tenat’ untuk mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri yang diasak oleh pemain politik.

“Pengaruh beliau di hati rakyat pula semakin merosot ekoran tindakan kerajaan PN mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali daripada didakwa atas kesalahan tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari Turki.

“Menteri PAS tersebut dikritik teruk oleh rakyat dan memberikan imej negatif kepada Muhyiddin kerana sikap double standard. Kini, rakyat tidak lagi peduli jika Muhyiddin tersingkir,” katanya.

Beliau berkata, PAS adalah pihak yang kuat menyokong permohonan darurat walaupun sedar tidak wujud keperluan sedemikian di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, sikap PAS yang menikam belakang Muhyiddin bakal menyebabkan jatuhnya Muhyiddin.

Artikel Berkaitan   'Saya Dah Cakap Jangan Cium Anak Saya, Sekarang Dah Kena Virus” Bayi 6 Bulan Hampir Buta Gara-Gara Dicium

“Hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini ibarat telur di hujung tanduk. Mampukah Muhyidin bertahan dengan sikap munafik PAS dalam politik ini, hanya masa yang menentukan,” katanya. -Malaysiapost

kredit malaypost