“Sebenarnya, Keputusan Ini Dibuat Sudah Lama. Cuma, Saya Tidak Mahu Kongsikan. Mungkin Saya Belum Cukup Baik”

Kuala Lumpur: “Ada hikmah kenapa perkahwinan ini dibatalkan. Allah nak tunjuk siapa diri kita sebenarnya terhadap pasangan. Terima kasih Allah.”

Itu kata penyanyi dan pelakon, Nonny Nadirah mengenai keputusannya membatalkan perkahwinan bersama pelakon, Niezam Zaidi pada Isnin lalu.

Nonny, 31, atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin berkata, dia dan Niezam sudah lama membuat keputusan itu iaitu selepas mereka mengikuti kursus kahwin pada September lalu.

“Saya anggap apa yang berlaku sudah tiada jodoh. Kalau nak paksa pun, bimbang nanti ia hanya memudaratkan. Takkan saya perlu melalui fasa perceraian sekali lagi. Jadi, saya reda dengan ketentuan ini.

“Sebenarnya, keputusan ini dibuat sudah lama. Cuma, saya tidak mahu kongsikan. Apa boleh dikatakan, mungkin saya belum cukup baik. Jadi, saya perlu perbaiki diri untuk menjadi pasangan yang lebih baik untuk pasangan saya.

“Apa yang penting, buat masa sekarang saya nak gembirakan diri sendiri dan keluarga. Tidak ada istilah serik, cuma apa dirasakan sekarang adalah, solo lagi bagus,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi ibunya, Nonny berkata ibunya sentiasa menghormati keputusan yang dibuat.

“Mak saya boleh cakap, santai saja di posisi. Sebab dia pun cakap jangan terlalu mencari kesempurnaan. Dia hanya mahu tengok saya bahagia dan tak lagi saya bersedih. Dia selalu sokong apa saya buat.

“Kalau selepas bercerai dulu saya memang meratap. Tapi, untuk kali ini saya lebih tenang. Malah lebih gembira. Bagi saya, Allah sudah atur segalanya. Apa yang penting, kena sabar dengan ketentuan diberikan,” katanya.

Terdahulu, Nonny mengumumkan pembatalan perkahwinan mereka menerusi hantaran di Instagram yang turut mengucapkan hari jadi kepada Niezam.

Artikel Berkaitan   “Adik Budin Tak Dok Doh..” Kakak Longlai Bila Adiknya Maut, Perangai Mangsa Berubah Sejak Seminggu Lalu

kredit harian metro