Menteri Agama Selamatkan Wanita Yang Mahu Lelong Buah Pinggangnya Gara-Gara Desakan Hidup

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ‘menyelamatkan’ seorang wanita hamil yang cuba menjual buah pinggang kerana desakan hidup, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Zulkifli memaklumkan beliau menerima maklumat berkaitan wanita itu selepas dikongsikan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya di media sosial.

“Itulah realiti yang terpaksa dihadapi walaupun sukar untuk dipercayai.

“Saya dimaklumkan, beliau juga sedang hamil. Moga Allah keluarkan beliau dan keluarga daripada kesempitan hidup.

“Setelah tular kes ini di Twitter, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) telah menghubungi beliau dan menyalurkan bantuan awal sebanyak RM5,000.

“Memandangkan wanita itu tinggal di Selangor, beliau juga dimaklumkan bahawa pihak Lembaga Zakat Selangor sedang mengusahakan bantuan untuk wanita berkenaan.

“Tahniah atas usaha proaktif Pusat Pungutan Zakat dan Lembaga Zakat Selangor,” katanya.

Dr Zulkifli dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan golongan asnaf melaporkan kepada pihak bertanggungjawab dengan segera.

Beliau juga berkata, sekiranya kes seumpama itu berlaku di Wilayah Persekutuan, orang ramai boleh menggunakan aplikasi MAIWP.

“Jika anda mendapat info berkenaan isu-isu seperti ini di Wilayah Persekutuan, saya sarankan untuk terus lapor melalui aplikasi MoJA (Mobil Jejak Asnaf). Boleh muat turun di Play Store bagi pengguna Android,” katanya.

kredit Malaysiapost

Artikel Berkaitan   “Saya Rindu Sekolah” Gadis Ini Menangggung Penyakit Ini, Beliau Hanya Mampu Berjalan Merangkak