“PAS Perlu Menghormati Keputusan Umno Yang Enggan Mengadakan Kerjasama Dengan BERSATU”

KUALA LUMPUR, 23 Nov — PAS perlu menghormati keputusan Umno yang enggan mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pendirian diutarakan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berharap PAS dapat memahami keputusan itu.

Jelasnya, Umno tidak pernah menghalang PAS untuk bekerjasama dengan Bersatu malah menghormati langkahnya menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun PAS menyertai Perikatan Nasional (PN), Umno tidak menghalangnya kerana Umno memahami dan menghormati kedudukan PAS.

“Demikian juga yang Umno harapkan daripada PAS tentang hubungan Umno dengan Bersatu.

“Umno yakin PAS tidak akan memaksa Umno untuk menerima Bersatu apa lagi memberikan kerusi kepada Bersatu dengan sewenangnya,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa PAS tidak akan bersama Umno tanpa kehadiran Bersatu.

Jelasnya, pendirian PAS itu dinyatakan secara jelas pada mesyuarat Muafakat Nasional (MN) minggu lalu.

Sementara itu, Mohamed Khaled yakin wujud usaha daripada pihak tertentu yang mahu memecah-belahkan kerjasama Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

Pada masa sama, Mohamed Khalid mendakwa wujud juga usaha menyelamatkan Bersatu agar terus kukuh pada pilihan raya akan datang.

“PAS pasti menyedari bahawa akan ada kerusi yang Umno akan bertembung dengan Bersatu.

“Umno bukan dalam misi memberikan ihsan kepada mana-mana pihak untuk bernafas dan meraih kemenangan dengan pertolongan Umno.

“Umno juga tidak mahu dipaksa menerima sesiapa untuk menjadi rakan politiknya. Hanya jauhari yang mengenal manikam,” katanya lagi.

kredit projekmm

Artikel Berkaitan   Abang Sado Hilang Pekerjaan Masa PKP, Nekad Kerja Di Pasar Borong Buat Ramai Cair