Pendakwah Da’I Muda Ditahan Polis Gara-Gara Dituduh Merogol Seorang Gadis Hingga Mengalami Kemurungan

SHAH ALAM – Seorang pendakwah muda direman lima hari bermula hari ini sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan dakwaan kes merogol seorang gadis di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini pada September tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang juga bekas peserta rancangan realiti televisyen berbentuk keagamaan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Zamir Suhaimee.

Terdahulu suspek berusia 25 tahun yang memakai baju berwarna hijau itu hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 9.45 pagi dan diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edrus.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan malam tadi memberitahu lelaki tersebut ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada pukul 11 malam.

Baharudin berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa yang berusia 23 tahun pada pukul 7.18 malam, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar dengan lelaki terbabit yang baru dikenalinya menerusi laman sosial Instagram pada 11 September 2019.

“Tujuan pertemuan itu adalah bagi berbincang mengenai masalah kemurungan yang dihadapi mangsa dengan kaedah perubatan Islam.

“Lelaki itu telah membawa mangsa makan di sebuah kedai di Batu 3 di sini sebelum balik ke rumah dengan alasan untuk memberikan penerangan mengenai penyakit kemurungan,” katanya.

Jelas Baharudin, mangsa yang didakwa diperkosa diberikan amaran supaya merahsiakan kejadian tersebut sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing ke rumahnya di Subang Jaya.

Mangsa juga dikatakan mengalami tekanan perasaan yang teruk dan menerima rawatan psikitari di Hospital Kajang pada 23 September tahun lalu.

Artikel Berkaitan   Konon-Konon Nak Sweet Dengan Suami, Adik Anzalna Nasir Sekali Tersalah Sepak “Objek” Pulak

Seterusnya mangsa telah pulang ke rumah keluarganya di Pahang serta mendapat rawatan selama lima hari di wad psikitari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Selasa lalu tular di platform media sosial beberapa siri kenyataan yang dibuat oleh pengguna akaun Twitter @ainunnnajwa mendakwa seorang pendakwah selebriti merogol seorang gadis.

kredit MalaysiaGazette