“Janganlah Ambil Hak Orang Lain” Lepas Ramai Artis Bersuara, Siti Nordiana Buka Mulut Kepada Persatuan Berkenaan

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana mengakui hanya beberapa kali menerima bayaran royalti ketika Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) masih wujud.

Siti Nordiana, 36, atau mesra disapa Nana kemudian menjadi ahli Recording Performers Malaysia (RPM) sejak dua tahun lalu dan belum pernah lagi menerima sebarang royalti.

“Ketika bersama PRISM, pernah dua atau tiga kali saya terima bayaran royalti. Namun, jumlah yang dibayar sejujurnya tidak setimpal.

“Bayangkan, saya sudah berada dalam industri selama 20 tahun, namun, bayaran royalti hanya dua ke tiga kali saja.

“Pada 2018, saya sertai RPM. Selepas dua tahun, saya belum pernah menerima sebarang bayaran royalti daripada mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Nana yang juga penyanyi lagu Angkara berkata, dia mula berfikir mengenai bayaran itu selepas perkara itu dibangkitkan oleh beberapa rakan artis.

“Apabila ramai mula bersuara, saya terfikir semula bahawa ini adalah perkara yang perlu dipandang serius.

“Harapan saya adalah biarlah keadilan dapat ditegakkan. Janganlah ambil hak orang lain kerana itu adalah hasil kerja keras seseorang artis.

“Kami golongan artis tidak ada wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya. Jadi, bayaran royalti inilah sedikit sebanyak dapat membantu kami apabila sudah berusia nanti dan dalam tempoh krisis Covid-19 macam sekarang,” katanya.

Selain Nana, beberapa lagi artis tampil bersuara antaranya Datuk Khatijah Ibrahim, Tam Spider dan Azharina Azhar.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Kenapa Kucing Suka Datang Dekat Pada Kita