“Sepatutnya Di Usia Sebegini, Adam Pasti Gembira Bermain Dengan Kanak-Kanak Sebaya”

Kuala Lumpur: Sebak dan geram mengenangkan nasib menimpa Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi, 4, yang maut selepas dicampak datuk tirinya, Ahad lalu.

Muhammad Rafieudin Zainal Rasit dari Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) berkata, perasaan itu menyelubungi dirinya ketika menguruskan jenazah kanak-kanak malang itu semalam.

Menurutnya, dalam keadaan pelbagai musibah yang berlaku kini, masih ada insan yang diuji sebegini hebat sehingga meragut nyawa kanak-kanak itu.

“Sebak ketika memandikan dan mengkafankan jenazah Adam kerana terkenangkan anak di rumah yang hampir sebaya dengannya.

“Sepatutnya di usia sebegini, Adam pasti gembira bermain dengan kanak-kanak sebaya. namun dia diuji sebegini hebat dengan kematian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, sebaik jenazah Adam dibenarkan untuk diuruskan, ibu mangsa yang masih dirawat diusung ke bilik forensik bagi menatap kali terakhir wajah anaknya.

Katanya, suasana pilu dan tangisan memenuhi kesunyian kawasan berkenaan atas kematian yang begitu tragis.

“Saya bersyukur kerana segala urusan sehingga Adam dikebumikan berjalan lancar dan SPJM dapat melunaskan amanah diberikan keluar Allahyarham.

“Jenazah Adam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di Setapak jam 9.30 malam,” katanya.

Dalam kejadian 8 pagi Ahad lalu, Adam meninggal dunia selepas dicampak datuk tirinya yang juga warga Nigeria dari tingkat tiga apartmen berkenaan.

Suspek juga mencederakan tiga ahli keluarga mangsa sebelum terjun daripada tingkat sama dan ditangkap penduduk serta diserahkan kepada polis.

Siasatan mendapati, suspek warga Nigeria berusia 42 tahun cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Orang Dulu-Dulu Suka Makan Sirih Patutlah Susah Ada Penyakit Melekat, Ini 10 Kebaikan Daun Sirih Yang Kita Tak Tahu