Selalu Sembahyang Subuh Gajah, Ini Yang Anda Perlu Buat Supaya Mudah Bangun

Sukar bangun solat Subuh itu perkara yang pastinya bukan dirasai oleh anda seorang, bahkan rasanya segelintir daripada kita pernah mengalami atau mungkin sedang berperang dengan diri sendiri untuk mengatasinya.


Perkara ini perlu diatasi. Cuba tanya kepada diri anda – sampai bila nak terlewat menunaikan Subuh?

#1 – Dapatkan tidur dan rehat yang berkualiti

Kalau tidur awal, tapi badan anda tidak mendapatkan rehat yang secukupnya, ia mungkin juga tidak menjadi. Ketahui berapa banyak masa yang betul untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, apa yang perlu dilakukan sebelum tidur dan pukul berapa waktu yang tepat untuk tidur. Ada orang, tidak perlu tidur lama pun, namun tidurnya itu berkualiti.

Ada orang yang perlu mendapatkan tidur sehingga 7 jam bagi mengecas kembali tenaga dan dapat bangun daripada tidur dengan penuh segar.

Semuanya bergantung kepada diri anda kerana anda sendiri yang memahami kekuatan dan daya ketahanan diri anda.

#2 – Amalkan adab sebelum tidur

Sebagai seorang muslim, tidur itu bukan sebarang tidur kerana ia juga boleh menjadi ibadah dan mampu mendapat pahala. Caranya mudah sahaja, iaitu dengan mengamalkan adab dan sunnah sebelum tidur. Antara adab yang diajar ialah:

#a – Berwuduk atau membasuh kaki sebelum tidur.

#b – Mengibas tempat tidur. Bersihkan ia daripada habuk atau kotoran yang ada di katil anda.

#c – Membaca Surah Al-Ikhlas, ayat Qursi dan doa tidur.

#d – Tidur dalam keadaan berbaring pada sisi kanan.

#e – Mengucap syahadah sebelum tidur.

#f – Meniatkan dalam hati agar tidur yang dilakukan ini adalah ibadah dan semoga dapat bangkit pada waktu yang tepat untuk menunaikan solat Subuh.

#3 – Menetapkan penggera

Perkara yang paling mudah ialah dengan menetapkan jam penggera. Cuba untuk letakkan jam tersebut jauh sedikit dari anda. Jika diletakkan di bucu bantal anda, pasti mudah untuk anda mematikannya. Namun, jika diletakkan di meja atau berjauhan dari katil, ia pasti memerlukan usaha yang lebih untuk anda mematikan jam tersebut.

Jadi, rasa mengantuk itu dapat hilang dengan mudah dan anda boleh menunaikan solat Subuh tanpa perasaan tersebut.

kredit zayan