KUALA NERUS – Terengganu diramal mengalami kemarau berpanjangan ekoran fenomena El-Nino yang dijangka berlaku sekitar 2025 hingga 2030.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, ia berdasarkan ramalan perubahan iklim yang dilakukan melalui penggunaan ‘big data’ bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Menurutnya, walaupun kemarau dijangka melanda seluruh negara, Terengganu mungkin mengalami kemarau antara lima hingga enam bulan berbanding tempoh kebiasaan antara satu hingga tiga bulan.
“Hasil penyelidikan, kita dapati berlaku perubahan iklim sehingga menyebabkan cuaca panas berpanjangan sekitar tahun 2025 hingga 2030 di negara ini.
“Bagaimanapun, kita meramalkan Terengganu akan terjejas teruk dengan keadaan ini kerana sifat kemarau di Terengganu berbeza berbanding negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar sempena penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan NAHRIM di sini hari ini.
Ir Dr Md Nasir
Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Dalam perkembangan sama, Md Nasir berkata, hasil kajian itu adalah antara penemuan yang diterima hasil penggunaan ‘big data’ yang mampu merekodkan suhu iklim antara 90 hingga 100 tahun akan datang.
“Ini adalah penemuan yang Nahrim terima dan kita harap semua pihak membuat persediaan menghadapi tempoh itu.
“Antara inisiatif ialah menyediakan takungan air seperti takungan di bawah tanah untuk menghadapi situasi itu,” katanya.
Dalam pada itu, Md Nasir berkata, hasil kajian sama juga mendapati Terengganu dijangka mengalami banjir besar berikutan berlakunya fenomena La Nina sekitar 2030 selepas berlakunya kemarau panjang di negeri ini.
kredit sinar harian