Tergamak seorang anggota polis di Filipina menembak mati jirannya yang merupakan seorang ibu bersama anak lelakinya secara berkali-kali. Semua ini dikatakan dilakukannya hanya kerana berang dengan bunyi bising meriam yang telah diubah suai. Sudah tentu, indisen ini mencetuskan kemarahan rakyat Filipina.
Menurut laporan, tular satu rakaman video pembunuhan yang dilakukan oleh anggota polis tersebut di alam media sosial. Dalam pada itu, hal ini telah membangkitkan gesaan untuk mengakhiri kekejaman polis di negara tersebut.
Video berdurasi lima minit itu menunjukkan anggota polis, Jonel Nuezca bertengkar dengan jirannya, Frank Anthony Gregorio, 25 tahun dan ibunya, Sonya Gregorio, 52 tahun. Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Ahad lalu, di luar kediaman bangsa di Barangay Cabayaoasan, Paniqui, Tarlac di Tengah Luzon.
Pulang Ke Kampung Kunjungi Keluarga, Akhirnya Membunuh!
Nuezca, 46 tahun, yang bertugas di Makmal Jenayah Polis Bandar Paranaque di Metro Manila, dikatakan tidak bekerja pada hari kejadian dan pulang ke kampung untuk mengunjungi keluarganya. Seorang saksi kejadian yang merakam seluruh insiden itu, Alyssa Calosing berkata, sebelum insiden tembakan, Nuezca bergegas ke rumah mangsa dan bertengkar dengan Frank yang ketika itu berada dalam keadaan mabuk.
Semasa pertengkaran berlaku, Sonya dikatakan cuba meleraikan pergaduhan tersebut. Nuezca menumbuk mangsa, dan kemudian anak perempuan Nuezca muncul. Bagaimanapun, pertengkaran tersebut dikatakan tidak reda sehingga Nuezca memaki Sonya lalu menembaknya pada jarak dekat di kepala. Frank juga turut ditembak di kepala, tetapi Nuezca kemudian melepaskan lagi dua das tembakan ke arah Frank.
Selepas itu, anggota polis terbabit sekali lagi melepaskan tembakan ke arah Sonya yang sudah tidak bernyawa. Begitulah kejamnya tindakan Nuezca hanya kerana bergaduh sebab bunyi bising.
Insiden Dikutuk Sekeras-Kerasnya
Dalam satu kenyataan, Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG) menyatakan, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang mengorbankan dua orang yang dipercayai jiran anggota polis tersebut di kampung halamannya. Ketua Polis Negara, Jeneral Debold Sinas pula menjanjikan keadilan untuk ‘tindakan jenayah terpencil’ itu.
Selepas kejadian, Nuezca dikatakan melarikan diri dari tempat kejadian, namun akhirnya menyerah diri pada hari yang sama di balai polis berdekatan Rosales, wilayah Pangasinan.
kredit koolfm