New Delhi: Seorang lelaki di India memutuskan berkahwin dengan dua wanita dicintainya serentak kerana tidak sanggup mengecewakan salah seorang daripada mereka.
Perkahwinan unik itu berlangsung meriah di Bastar, Chhattisgarh pada 5 Januari lalu dengan kehadiran 500 tetamu dan majlis itu tular di media sosial.
Kisah berkenaan bermula ketika lelaki itu yang juga seorang petani, Chandu Maurya bertemu dengan Sundari Kashyap, 21, tiga tahun lalu sebelum mereka menjalin hubungan melalui telefon dan merancang untuk berkahwin.
Bagaimanapun, setahun selepas itu, Chandu jatuh hati pula dengan seorang wanita bernama Haseena Baghel, 20, yang dikenalinya ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di kampungnya di Tikralohnga.
Menurut Chandu, dia mengaku sudah berpunya namun Haseena tidak peduli dan mereka tetap berhubung menerusi telefon.
“Haseena dan Sundari berkenalan antara satu sama lain dan bersetuju meneruskan hubungan itu.
“Suatu hari Haseena datang ke rumah dan menetap bersama saya bersama ibu bapa dan dua adik-beradik saya,” katanya dalam portal Hindustan Times.
Katanya, hubungannya bersama dua wanita itu menjadi pertikaian penduduk kampung sebelum dia memutuskan mengahwini dua wanita itu serentak.
“Lelah dengan pelbagai persoalan, saya memutuskan mengahwini mereka kerana mereka mencintai saya.
“Saya tidak sanggup mengkhianati kedua-duanya dan mereka juga bersetuju hidup dengan saya selama-lamanya,” katanya.
kredit harian metro