Majlis Presiden PH Anggap Pengisytiharan Darurat Oleh Kerajaan Hanyalah Mahu Memanjang Jangka Hayat Politik

SHAH ALAM – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak rasional serta alasan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman Covid-19.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Selasa selepas mengadakan mesyuarat membincangkan isu pengisytiharan darurat itu.

Mereka berkata, undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak tersebut.

“Sebagai contoh, dalam isu mengambil alih hospital swasta untuk membantu dalam kes Covid-19, hospital swasta ini memang bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka.

“Berkenaan isu pilihan raya pula, Majlis Presiden melihat tindakan yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu pengisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah memadai,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos depan manakala Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pula hanya perlu diadakan menjelang 2023.

“Justeru alasan yang dikemukakan Muhyiddin dalam isu tersebut tidak dapat diterima sama sekali.

“Malah kami melihat tindakan menggantung Parlimen dan DUN pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat,” katanya.

Mereka memberitahu, kuasa darurat bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.

Artikel Berkaitan   Kristofer Hivju ‘Game of Thrones’ Sah Positif Jangkitan Covid-19

“Majlis Presiden turut risau pengisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran serta kehilangan pendapatan dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, kami berpandangan bahawa tindakan Tan Sri Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan pengisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa memperkenankan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau sehingga suatu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

kredit sinar harian