“Siapa Kamu Mahu Mempertikaikan Kebijaksanaan Keputusan Agong?” Ahli Tertinggi BERSATU Ingatkan Jangan Jadi Penderhaka

KUALA LUMPUR – Sebarang ejekan, sindiran dan putar belit niat sebenar proklamasi darurat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semalam boleh dianggap sebagai derhaka.

Sama ada dilakukan orang biasa atau golongan ternama, secara terang terangan atau terselindung, ia wajar dilihat sebagai suatu bentuk hasutan dengan niat jahat untuk menghilangkan hormat serta ketaatan rakyat terhadap Institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman, ada yang masih ‘menyalak’ mengenai pilihan raya umum (PRU) apabila mempertikaikan darurat kesihatan itu.

“Saya memetik kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya semasa pandemik Covid-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.

“Dalam konteks ini, menjadi kewajipannya sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi rakyat sekalian daripada jangkitan Covid-19 dan ini adalah kemaslahatan paling utama dituntut oleh Islam.

“Tidakkah kita belajar kesan penularan Covid-19 setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini?” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Muhammad Faiz, mereka yang terdesak mahukan PRU segera ternyata datang dari kalangan ahli politik yang berpolitik 24 jam terutama dari Pakatan Harapan (PH) serta kelompok kluster mahkamah dari UMNO.

Katanya, rakyat biasa yang tiada kepentingan politik terus memerhati sikap mereka itu dan apa yang majoriti rakyat dambakan ialah pemulihan ekonomi, keselamatan nyawa serta sistem keadilan yang utuh.

“Semua ini bergantung kepada kestabilan politik yang sedikit sebanyak disumbangkan oleh darurat sekarang ini.

Artikel Berkaitan   Kelantan Dilanda Banjir Gelombang Kedua, Empat Sungai Utama Sudah Melepasi Paras Berjaga-Jaga

“Bercakap soal sistem keadilan yang utuh, tiada seorang pun Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, selain Muhyiddin yang dengan jelas dan terbuka membuat penegasan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.

The judiciary will continue to be the beacon of justice in our country and I will never interfere in the business of the court“. Inilah kata-kata yang mendatangkan gerun di hati kelompok yang korup tetapi berselindung di sebalik nama rakyat, bangsa dan agama,” tegas beliau.

Katanya, pengisytiharan Darurat oleh YDPA berdasarkan peruntukan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, dan proklamasi darurat bermakna negara dan rakyat sedang menghadapi ancaman berskala nasional yang memerlukan keterlibatan semua jentera pihak pemerintah tanpa sebarang gangguan.

Jelas beliau, umum tahu YDPA selaku Ketua Negara berhak menitahkan darurat setelah baginda memperkenan nasihat dari Perdana Menteri yang mewakili jemaah menteri, ketua-ketua pasukan bersenjata serta ketua-ketua kementerian atau agensi kerajaan berkaitan.

Ini kata beliau, bermakna bukan hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang memberi pendapat atau nasihat kepada YDPA namun beliau juga bertindak mewakili suara kolektif pihak kerajaan Malaysia.

“YDPA pernah menolak nasihat untuk darurat itu seperti yang pernah terjadi pada hujung tahun lepas apabila melalui kebijaksanaan baginda, merasakan negara belum memerlukannya.

“Ini bukti Agong kita bertindak secara adil, neutral dan bebas tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan, selain dari kepentingan negara,” katanya.

Namun, kata beliau, terdapat segelintir manusia yang mengaku sebagai warganegara Malaysia tetapi mempertikai titah YDPA mengisytiharkan darurat itu.

“Kononnya, ia bersulamkan kepentingan politik pihak tertentu, kononnya negara tidak memerlukan darurat, kononnya Perdana Menteri perlu ditukar, kononnya ekonomi serta hak asasi manusia akan terancam, dan kononnya PRU masih boleh diadakan sewaktu darurat.

Artikel Berkaitan   Pramugara Tunai Janji Kejut Untuk Solat Subuh, Ustaz Ebit Liew Terharu Dapat Solat Bersama

“Soalan saya kepada mereka ini, siapa kamu mahu mempertikaikan kebijaksanaan keputusan Agong?” soalnya

Beliau juga mengingatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika rakyat boleh hormat keputusan YDPA membebas dan mengampunkannya dari hukuman penjara kes liwat, kenapa beliau tidak hormat keputusan baginda mengisytiharkan darurat tidak kira apa juga sebab untuk darurat itu.

kredit MalaysiaGazette