Anwar Ibrahim Hantar Surat Kepada Ahli Parlimen Lain Untuk Solidariti Mohon Batalkan Darurat Kepada Agong

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang menghantar surat kepada semua ahli Parlimen bagi merayu Yang Dipertuan Agong (YDPA) membatalkan darurat.

Dalam surat yang sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu YDPA mengarahkan Parlimen bersidang sebelum 31 Januari ini.

Presiden PKR mencadangkan semua ahli Parlimen mengemukakan rayuan itu kepada YDPA sebelum esok.

Bagaimanapun, Anwar berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan mengikut pertimbangan semua Ahli Parlimen dan parti masing-masing.

“Semoga warkah ini mendapat ihsan dan kebijaksanaan YDPA untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam isi warkah kepada YDPA pula, Anwar menegaskan, cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuat tanpa keabsahan dengan penyusutan jumlah ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mempertikai langkah munasabah yang diambil bagi menangani wabak Covid-19. Namun majoriti ahli YB telah menggesa agar Belanjawan 2021 harus menumpukan isu kesihatan, kelengkapan termasuk peruntukan terhadap barisan hadapan.

“Pandangan dan peruntukan yang sedia ada adalah mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19 termasuk langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB). Cadangan membentuk jawatankuasa berama telah diutarakan oleh ramai YB sejak bulan Mac 2020.

“Ia tidak memerlukan darurat. Kemelut ekonomi amat memprihatinkan manakala jumlah pengangguran, kemisikinan dan kesenjangan bertambah. Darurat pastinya akan menyebabkan kedudukan ekonomi tambah meruncing,” katanya.

Anwar berpendapat Perdana Menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada YDPA keranan sesungguhnya tidak terkait dengan permasalahan Covid-19, banjir atau ekonomi.-

Artikel Berkaitan   Adik Mira Filzah Sambut Birthday, Ramai Pulak Yang Terpukau Dengan Kulit Mulus Dia

kredit MalaysiaGazette