Gara-Gara Kes Covid19 Makin Meningkat Di Kawasan Ini, Satu Kampung Nekad Buat Ujian

Tanah Merah: Hampir semua penduduk Kampung Chedok, di sini keluar menjalani ujian calitan Covid-19, hari ini berikutan prihatin dengan status kesihatan selepas beberapa kes positif dicatatkan di kampung berkenaan.

Difahamkan, mereka menjalani ujian itu petang hari ini yang dilaksanakan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penduduk, Noraini Ahmad, 35, berkata, ujian itu disarankan KKM selepas beberapa kes positif dicatatkan di kampung itu yang berpunca daripada pihak luar.

Katanya, penempatan kampung itu adalah jenis perkampungan asal apabila kebanyakan penduduk mempunyai pertalian rapat dan dikhuatiri mudah merebak serta menjadi kontak rapat.

“Apabila KKM buat saringan dan ujian calitan secara percuma, penduduk secara sukarela menjalani ujian untuk memastikan status kesihatan masing-masing.

“Daripada sudut positif saya puji usaha KKM dan penduduk kerana bagi kerjasama dan tindakan ini dapat mengelakkan wabak terus merebak,” katanya ketika dihubungi.

KANAK-KANAK di Kampung Chedok, Tanah Merah beratur untuk menjalani ujian calitan Covid-19 yang tular di laman sosial. FOTO ihsan pembaca

Noraini yang juga pemilik kedai makan, Pizza Jangok Mek Ani berkata, dia mengambil inisiatif menutup operasi perniagaannya selama dua minggu selepas kampung itu mempunyai kes positif Covid-19, walaupun angkanya rendah.

Menurutnya, dia turut menjadi mangsa tular apabila dituduh positif Covid-19 hingga terpaksa menutup kedainya, namun niatnya kerana tidak mahu pelanggannya terdedah kepada risiko jangkitan.

“Saya akan buat ujian calitan esok kerana tadi orang terlalu ramai dan saya mempunyai empat anak kecil.

“Bagi saya, kesedaran penduduk berkenaan Covid-19 semakin meningkat bila mereka beri kerjasama mahu jalani ujian,” katanya.

Peniaga kedai makan, Nuh Mat Isa, 47, dia berkata, dia dan isteri serta anak antara individu terawal positif disahkan positif Covid-19 pada 5 Januari lalu.

Artikel Berkaitan   Tiada Alasan“Tak Faham” Atau “Tak Tahu”, Ini Yang Dimaksudkan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat Yang Semua Wajib Tahu!

Katanya, dia hanya berada di sekitar kawasan Tanah Merah dan Jeli sahaja sehinggalah semakan mendapati dia dijangkiti individu dari luar yang datang ke kedai makannya.

“Apabila mendapat tahu saya positif, memang menyedihkan bila orang menjauhkan diri kerana masyarakat masih belum faham sepenuhnya tentang Covid-19.

“Jadi, bila mereka jalani ujian calitan, itu bagus kerana boleh tahu status diri dan jalani kuarantin bagi elakkan lebih ramai berjangkit,” katanya.

Hari Ini, tular di media sosial gambar puluhan penduduk Kampung Chedok beratur bagi menjalani ujian calitan Covid-19.

Ujian itu mendapat sambutan kerana diberi secara percuma menyebabkan penduduk kampung itu dan kampung sekitar mengambil peluang memeriksa kesihatan mereka.

kredit harian metro