“”Datanglah Ke Kafe Milik Saya, Tidak Perlu Bayar, Jika Malu Mereka Boleh Datang Dan Berbisik Atau Hubungi Saya”

TEMERLOH – Seorang pemilik kafe, Atikah Muklis bersedia memberi makanan percuma kepada mereka yang terjejas akibat banjir dan pandemik Covid-19.


Atikah yang juga pemilik Atikah Mukhlis One Stop Station di Jalan Pak Sako Temerloh di sini mahu berkongsi rezeki dengan golongan itu kerana bersimpati dengan masalah kewangan dan situasi yang dihadapi mereka.

Menurut wanita berusia 33 tahun itu, dia tidak mampu memberi wang tetapi hanya boleh berkongsi rezeki makanan secara percuma.

“Datanglah ke kafe milik saya, tidak perlu bayar, saya ikhlas membantu dan tiada terhad waktu. Datang sahaja bila-bila masa kafe beroperasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Atikah yang membuka kafe itu sejak 11 bulan lalu berkata, dia sedar masih ada ramai yang kelaparan, namun memilih untuk mendiamkan diri kerana malu.

Nasi lemak antara yang terdapat di kafe milik Atikah.
“Jika malu mereka boleh datang dan berbisik atau hubungi saya. Saya sendiri akan bungkuskan makanan.

“Saya anggap ini untuk bekalan akhirat dan niatkan untuk kedua ibu bapa dan mentua, cuma doakan saya murah rezeki selalu,” katanya yang kini sedang hamil 17 minggu.

Ujarnya, sebelum ini dia juga sibuk mengagihkan bekalan makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir di beberapa kampung sekitar Temerloh.

Kafe tersebut beroperasi setiap hari kecuali Selasa bermula jam 10.30 pagi hingga 9.30 malam menawarkan pelbagai menu antaranya nasi lemak, laksa, waffle, kerabu megi, nasi bajet dan pelbagai jenis minuman

kredit sinar harian