“Damailah Di Sana Wahai Suamiku” Isteri Frontliner Yang Meninggal Nafi Suami “Pergi” Bukan Sebab Penat Bebanan Kerja

Semalam tular seorang doktor yang merupakan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia pada Isnin dipercayai akibat kepenatan.

Menerusi satu entri di laman Facebook Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia (SPJM), Dr Ali Noor Hassan adalah ahli berdaftar SPJM dan mengikuti SPJM sejak 2018.

“Arwah mengikuti SPJM sejak tahun 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada 2 tahun lepas.

“Dr Ali juga dikhabarkan seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai ijtimak/perhimpunan Jemaah Tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali Ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak,” hantaran itu menyebut.

Turut dimuat naik bersama entri tersebut ialah gambar terakhir Allahyarham Dr Ali yang diambil rakannya.

“Ini gambar terakhir beliau yang sempat diambil oleh rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan KKM.

“Beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan,” kata keterangan pada entri berkenaan.

Menerusi beberapa hantaran di Facebook, difahamkan kesihatan Allahyarham mula merosot awal Disember lalu, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Isnin.

Terbaru, menerusi perkongsian di laman Facebook, isteri Allahyarham memuatnaik luahan hatinya.

“Beliau banyak bersedekah, setiap hari walau sedikit. Damailah di sana wahai suamiku,”.

Demikian luahan seorang wanita dipercayai isteri kepada petugas kesihatan, Dr Ali Noor Hassan di Facebook miliknya.

Wanita menggunakan akaun nama Asilah Alqarny turut menegaskan kematian suaminya disebabkan ‘AcuteRespiratoryDistress’ dan bukan disebabkan kepenatan bertugas melawan pandemik itu.

Artikel Berkaitan   Tak Puas Hati Tentang Rumah, Adik Tetak Kakak Pakai Parang Dan Kapak Sampai Maut

“Tiba-tiba banyak dapat request friend (permintaan rakan) sebab sudah viral (tular), ramainya yang mendoakan arwah suami Dr Ali Noor Hassan. Beribu-ribu orang share (kongsi) dan doakan dia. Alhamdulillah,” tulisnya.

Menurutnya, suaminya banyak terbabit dengan aktiviti jemaah tabligh dan memeriksa pesakit percuma ketika Ijtimak Tabligh.

“Tidak berkira kerja dengan kawan dan dia antara yang suka ziarah sahabat serta saudara sakit. Ramai yang mesej Dr Ali antara orang pertama melawat apabila kawan kawan tak sihat,” katanya.

Menurutnya, ketika ibunya masih ada, arwah banyak memuliakan dan berbakti kepada ibu.

“Setiap kali beli lauk untuk family (keluarga) mesti akan belikan lauk yang sama untuk arwah emak dia semasa hidup.

“Mak nak ke klinik atau rawatan memang dia akan usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia,” katanya.

Katanya, ketika ibu arwah didiagnos kanser paru-paru pada Ogos 2018, arwah sanggup mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibunya.

“Sehingga ke akhir hajat mak dia di IKN (Institut Kanser Negara), dia antara yang ajar mak kalimah syahadah,” katanya.

kredit yoy