“Saya Tak Ada Sebarang Ulasan. Kalau Saya Mengulas Ada Dalam Twitter, Facebook Dan Instagram Saya”

SHAH ALAM – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Sabtu enggan mengulas berhubung suratnya yang dihantar kepada ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menggesa sidang Parlimen diadakan dalam masa terdekat.

Beliau juga enggan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa beliau mengutus surat berkenaan selepas mesyuarat Biro Politik UMNO diadakan baru-baru ini.

“Saya tak ada sebarang ulasan. Kalau saya mengulas ada dalam Twitter, Facebook dan Instagram saya.

“Kalau tak ada dalam itu, bererti saya tak ada ulasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, surat yang dihantar oleh Ahli Parlimen Pontian itu ditempelak oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan menyatakan tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai cubaan menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang berkenan mengisytiharkan darurat pada 12 Januari lalu.

Selain daripada Annuar, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menolak permintaan Ahmad.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan surat dihantar oleh Ahmad yang menggesa sidang Parlimen diadakan dalam masa terdekat adalah atas kehendak parti, bukan individu.

Beliau turut mengesahkan surat yang dihantar kepada semua 41 ahli Parlimen UMNO dan BN itu diutuskan Ahmad selepas mesyuarat Biro Politik UMNO diadakan baru-baru ini.

kredit sinar harian

Artikel Berkaitan   “Kami Mahu Membuktikan Bahawa Ada Kaedah Lain Untuk Menyediakan Menu Menggunakan Serangga Sebagai Bahannya,”