Bomoh Tradisional Didakwa Lakukan Seks Dengan Pesakit Di Rumah Tanpa Rela

Kota Bharu: Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap pesakitnya, minggu lalu.

Tertuduh, Wan Ismail Wan Md Zain, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seksual terhadap mangsa wanita berusia 28 tahun tanpa kerelaannya dalam kejadian di sebuah bilik di Kampung Permatang Pusu, di sini, pada 8.50 malam pada 12 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Roshayati memohon jaminan minima dikenakan memandangkan tertuduh perlu menanggung empat orang anak.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah juga menetapkan 23 Februari ini untuk sebutan semula kes.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Pasangan Bercumbu Tak Ingat Dunia, Terjunam Ke Dalam Sungai, Lari Daripada Polis