Hati-Hati Dengan Panggilan Nombor 011-23696711, Setakat Ni Sudah RM700 Ribu Berjaya Scammer Ni Curi

Melaka: Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan atau mesej yang diterima melalui nombor telefon 011-23696711 yang dikesan terbabit dalam empat kes penipuan membabitkan pelaburan yang mencecah RM774,430.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata, nombor telefon itu dikesan menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ yang dibangunkan oleh kerajaan bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, kes penipuan terbaharu yang diterima menggunakan nombor telefon berkenaan namun belum direkodkan di laman web itu membabitkan seorang peniaga lemang yang mengalami kerugian sebanyak RM96,930 akibat terpedaya dengan pelaburan yang kononnya dijanjikan untung lumayan oleh sebuah syarikat perkapalan swasta sejak Jun tahun lalu.

“Wanita berusia 47 tahun dari Bukit Katil itu mula berurusan dengan suspek melalui penggilan telefon dan seterusnya menerusi WhatsApp dari talian 011-23696711 serta 011-26486178 yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh dua minggu berdasarkan wang yang dilaburkan.

“Peniaga wanita yang tertarik dengan tawaran itu kemudian memasukkan wang berjumlah RM96,930 sebagai bayaran modal dan lain-lain caj seperti ‘stamping’ ke tiga akaun bank berbeza yang diberikan suspek dalam tempoh Jun tahun lepas hingga 25 Jan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sundra Rajan berkata, selepas bayaran berkenaan dilakukan, wanita itu masih belum mendapat keuntungan yang dijanjikan namun suspek masih terus meminta sejumlah wang, dan dia akhirnya membuat laporan polis semalam apabila merasakan dirinya ditipu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Gara-Gara Tiada Duit Cukup Untuk Masuk Hospital, Lelaki Dibiarkan Mati Di Bawah Pokok