Rakyat Malaysia Jadi Gelandangan Di Singapura Demi Rezeki Untuk Anak Dan Keluarga. | Demi mencari rezeki, kita sanggup untuk melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup. Dari tidur tepi jalan sehinggalah berlapar demi untuk menjimatkan wang.
Itulah yang terjadi bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura setelah wabak COVID-19 menyerang dunia dan memaksa semua negara, termasuk Singapura dan Malaysia, menutup pintu sempadan bagi membendung penularan wabak ini.
Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, salah seorang rakyat Malaysia yang bekerja di syarikat minuman di Singapura ketika ditemuramah oleh New Straits Times mengatakan lebih dari 100 rakyat Malaysia yang kehilangan tempat tinggal kerana tidak mampu untuk menyewa bilik atau katil.
Pendapatan Tidak Mencukupi, Terpaksa Jadi Gelandangan
Shahruddin berkata dengan pendapatan bulanan rata-rata antara S$ 800 (RM2,441) dan S$ 1,400 (RM4,271), banyak yang tidak mampu menyewa katil dengan harga antara S$ 300 (RM915) dan S$ 500 (RM1,525) sebulan, atau apalagi bilik dengan sewa antara S$ 700 (RM2,135) dan S$ 1,200 (RM3,660).
Dia menambah bahawa jumlah itu tidak termasuk dengan perbelanjaan harian untuk makanan yang mencapai sekitar S$ 20 (RM61) dan pengangkutan antara S$ 3 (RM9) dan S$ 4 (RM12) setiap perjalanan.
Katanya lagi, sebilangan dari rakyat Malaysia hanya tinggal dengan baki sekitar S$ 100 (RM304) untuk bertahan selama sebulan, setelah memberi sekitar S$ 700 (RM2,134) untuk keluarga di Malaysia dan S$ 300 (RM915) untuk menyewa katil.
Manakala mereka yang berpendapatan melebihi $ 1,500 (RM4,575) juga terkesan. Ia dipengaruhi oleh kos petrol, permit masuk kenderaan (VEP) pada harga S $ 4 (RM12) setiap hari, antara lain.
Kenapa mereka tidak pulang dan memilih menjadi gelandangan?
Walaupun terdapat program Pengaturan Perjalanan Berkala (PCA) dari kerajaan Singapura dan Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk kekal berada di Singapura.
Keperluan untuk bertahan bagi memastikan pekerjaan mereka terjaga dan peraturan yang ditetapkan oleh beberapa majikan di Singapura juga telah meninggalkan mereka dengan pilihan yang terhad.
Selain daripada itu, walaupun dibenarkan untuk mengambil cuti pendek, peraturan seperti kuarantin selama 14 hari setelah kembali ke Malaysia dan satu lagi kuarantin ketika kembali ke Singapura sedikit sebanyak akan mempengaruhi pekerjaan mereka.
Tambahan daripada itu, mereka juga perlu membayar sekitar RM2,200 untuk kos penginapan sepanjang kuarantin dan juga untuk ujian COVID-19, kata Shahruddin.
kredit kataustaz