Guru Terkejut Buat Kelas Online Dengan Pelajar Tingkatan 1 Diganggu Dengan Paparan Video Lucah

Bertugas dengan norma baru pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ada guru mendakwa mereka turut berdepan dengan gangguan lucah oleh segelintir “murid nakal”.


Bagi seorang guru dari sebuah sekolah di Kepong yang mahu dikenali sebagai Cikgu N, mendedahkan dia diganggu dengan tayangan video lucah oleh pelajar ketika sesi PdPR berlangsung.

“Murid mengganggu proses PdPR yang menggunakan platform Google meet dengan menyiarkan video lucah.

“Perkara ini dilakukan oleh murid tingkatan satu, mereka berani berbuat demikian kerana mereka belum bersemuka dengan guru,” katanya kepada Malaysiakini.

Apabila berdepan dengan gangguan sebegitu, kata Cikgu N, dia terpaksa menghentikan sesi PdPR.

Bagaimanapun katanya tindakan itu akhirnya akan memberi kesan serta merugikan pelajar lain yang tidak terbabit.

Jelas Cikgu N, bukan dia saja yang berdepan dengan gangguan sebegitu sebaliknya masalah sama turut dihadapi guru lain.

Bagi seorang guru di sebuah sekolah di ibu kota, dia mendakwa turut berdepan dengan gangguan serupa.

“Kita menggunakan aplikasi yang disediakan kementerian dalam melaksanakan pengajaran. Namun, ada segelintir pelajar-pelajar nakal cuba menganggu proses pengajaran.

“Mereka menyiarkan juga video-video lucah, gambar lucah ketika sesi pengajaran secara dalam talian yang menyebabkan guru terpaksa memberhentikan pengajaran.

“Perbuatan ini dipercayai dilakukan oleh pelajar sekolah berlainan. Yang mana pautan pengajaran secara dalam talian ini telah dikongsi ataupun disebarkan oleh pelajar yang nakal,” katanya

Seorang lagi guru yang enggan namanya didedahkan, turut mengalami nasib sama iaitu diganggu murid dengan video dan gambar lucah ketika PdPR.

“Saya terkejut dengan kejadian yang tidak diingini, apatah lagi ketika itu pelajar murid-murid sekitar 100 orang sedang mengikuti pembelajaran.

“Disebabkan seorang murid nakal yang buat hal, habis sesi pembelajaran terpaksa dihentikan,” katanya.

Menurut guru terbabit kejadian itu berlaku pada minggu lalu dan ia sudah dimaklumkan kepada pihak pentadbir sekolah dan pejabat pendidikan daerah. – Mkini

kredit tun carlos