2 Gadis Tidak Bekerja, Berusaha Cari Pelanggan Untuk Melacurkan Dirinya Guna Aplikasi Sosial

Kota Kinabalu: Dua remaja perempuan berusia 18 dan 19 tahun yang menjalankan kegiatan pelacuran menerusi aplikasi WeChat dan MiChat ditahan pada serbuan di sebuah apartmen di Jalan Tun Fuad Stephen di sini, jam 10.30 malam kelmarin.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, kedua-duanya bergerak sendiri tanpa orang tengah.

“Kedua-duanya yang tidak bekerja dipercayai menjalankan kegiatan ini sebagai sumber pendapatan mudah.

“Mereka menggunakan aplikasi WeChat dan MiChat untuk membolehkan pelanggan terus berhubung bagi mendapatkan khidmat seks selain menyukarkan identiti sebenar mereka dikesan,” katanya dihubungi hari ini.

Alhusin berkata, kedua-duanya kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kerjasama dan maklumat orang awam dialu-alukan bagi mengekang kegiatan pelacuran melalui aplikasi seumpama ini,” katanya.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   Ozlynn Dedah Johan Tidak Pernah Ada Henfon, Pakai Hp Bini Sahaja Untuk Urusan