Penemuan Bangkai Babi Berjanggut Mati Secara Berjemaah Getus Tanda Tanya Yang Misteri Di Borneo

SANDAKAN, 4 Feb (Bernama) — Kira-kira 30 ekor ‘babi berjanggut Borneo’ ditemui mati secara misteri di beberapa kawasan di pantai timur negeri Sabah baru-baru ini.


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah Dr Peter Lee berkata jabatan itu sedang menyiasat punca kematian dan akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai puncanya selepas semua ujian dijalankan.

Dalam satu kenyataan di sini malam ini beliau berkata pihaknya sedang mengkaji beberapa sampel, termasuk ujian kemungkinan keracunan; dan setakat ini ujian menunjukkan sampel yang diambil tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit berjangkit.

Beliau berkata JPV mengesan kes awal kematian haiwan itu pada 28 Jan lepas semasa mengadakan mesyuarat secara dalam talian dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah, apabila dimaklumkan bahawa 14 ekor haiwan itu didapati mati di sekitar daerah Kinabatangan antara bulan Disember dan Januari lepas.

Menurutnya JPV seterusnya menubuhkan satu pasukan yang dianggotai petugas dari Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) bagi menyiasat perkara itu.

“Pasukan itu telah mengambil sampel daripada beberapa bangkai yang ditemui, termasuk sampel sumsum tulang bagi ujian “Polymerase Chain Reaction” (PCR) untuk ujian penyakit; serta makanan pepejal untuk ujian toksikologi.

“Bagaimanapun disebabkan hujan berterusan, dan kawasan itu mudah dinaiki air, agak sukar untuk mendapatkan sampel babi berjanggut Borneo di kawasan sama bangkai itu ditemui,” katanya.

Lee turut melaporkan bahawa apa jua punca kematian haiwan itu tidak menjejaskan babi tempatan yang berada di kawasan berkenaan, namun menurutnya jabatan itu tidak memandang ringan terhadap sebarang kemungkinan, dan telah meningkatkan pemantauan haiwan itu dalam kawasan dari Kinabatangan sehingga Beluran dan Paitan.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian awal atau menyebar khabar angin yang boleh menimbulkan panik dalam masyarakat.. dan menggesa orang ramai supaya menghubungi segera Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang terdekat sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini,” katanya.

kredit siakap keli