Kuala Lumpur: “Tolong jangan percaya!”
Itu kata penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi hantaran di Instagram yang meminta peminat dan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan menggunakan video dan imejnya yang menawarkan ganjaran kepada mereka yang menonton.
Siti menegaskan bahawa itu adalah ‘scammer’ yang berniat jahat bagi kepentingan peribadi dan menipu masyarkat.
“Makin rancak sindiket dengan agenda penipuan mereka ini. Tolong jangan terpedaya, mereka siarkan video siaran langsung seolah-olah saya benar-benar sedang buat sesi siaran langsung ketika itu, dan menganjurkan peraduan dengan pelbagai ganjaran.
“Mereka akan minta segala maklumat diri anda dan anda ditipu! Ini scammer!” katanya.
Siti berkata, individu tidak bertanggungjawab itu melakukan perbuatan itu pada waktu yang tidak masuk akal.
“Mereka buat sesi siaran langsung masa orang tidur, logik ke saya tengah ‘live’ waktu berkenaan? Boleh tengok di Instagram atau Facebook saya, @ctdk ini dan Siti Nurhaliza (page), ini sahaja akaun rasmi sosial media saya.
“Walaupun mereka tulis siaran langsung di page Facebook saya tapi jika kita peka mengenai penipuan ini dan berfikir, tentunya kita tak akan terpedaya,” katanya.
Siti juga meminta individu tidak bertanggungjawab itu supaya insaf dan berhenti melakukan tindakan terbabit.
“Kepada anda yang menggunakan gambar, nama, video dan menyamar serta menipu orang ramai, saya berharap anda insaf dan hentikan perbuatan ini.
“Hari ini kita seronok menipu orang, satu lagi tentu ada balasannya di atas semua perbuatan kita itu.
“Kepada peminat, pengguna media sosial, tolong berfikir sebelum percaya dengan penipuan seperti ini. Bantu saya untuk menyedarkan lebih ramai orang, hebahkan bahawa ini adalah penipuan dan jangan terpedaya!” katanya.
Siti turut berkongsi beberapa tangkap layar gambar akaun Facebook palsu yang menggunakan video dan imejnya.
kredit harian metro