Isteri Tak Tahan Dengan Perangai Suami Mengaku Bujang, Bercinta Dengan 5 Orang Gadis Dalam Satu Masa

Kuala Lumpur: Bukan seorang, tetapi bekas suami, Haslinda (bukan nama sebenar) 30-an, menjalin hubungan dengan lebih lima wanita dalam satu masa menerusi aplikasi janji temu popular tempatan.

Kata ibu kepada empat cahaya mata lelaki berusia sekitar tiga tahun sehingga 10 tahun itu, bekas suami itu juga mengaku bujang dan memancing ‘simpati’ gadis dengan kisah sedihnya.

“Sebelum bercerai dengan suami pada penghujung 2019 lalu, saya pernah memfailkan perceraian sebanyak tiga kali di dua mahkamah negeri berasingan.

“Ini kerana sikapnya sering berlaku curang dengan menggunakan aplikasi temu janji selain mengaku bujang menyebabkan gadis pernah mengenalinya di atas talian terpedaya.

“Lebih menyakitkan ‘skandal’ suami pernah memaki hamun menerusi ‘DM’ terus ke akaun media sosial saya setelah dia mengadu kepada mereka kononnya saya yang mempunyai hubungan sebagai ‘sepupu’ berstatus ibu tunggal, suka mendesak atau meminta bantuan kewangan.

“Hakikat sebenar, bekas suami menggunakan wang wanita lain untuk kepentingan dirinya termasuk berbelanja ketika keluar bersama teman wanita lain,” katanya.

Kata Haslinda lagi, dia nekad bercerai kerana tidak tahan dengan gangguan koleksi teman wanita suami selain bimbang sikap itu diketahui anak yang semakin membesar.

“Malah, ketika hamil anak keempat, saya masih tinggal dan bekerja di pantai timur. Satu insiden serius membabitkan seorang wanita dikenali suami menggunakan platform sama bertindak menyerang saya dan tiga anak masih kecil di rumah sewa.

“Wanita itu mencari bekas suami kerana dia berjanji untuk pulangkan duit dipinjam pada hari berkenaan. Wanita itu bawa bersama dua ahli keluarga dan seorang kenalan lelaki kerana mahu mendesak suami kembalikan wang seperti dijanjikan.

Artikel Berkaitan   Selesai Mencuri Kenderaan 30 Minit Sahaja Bergembira, Lelaki Ini Temui Ajal Atas Jalan Raya

“Ketika itu, suami menghilang selama seminggu dan saya meminta mereka mencari sendiri kerana tidak tahu menahu perjanjian itu.

“Wanita terbabit bertindak agresif begitu juga dengan tiga lelaki bersamanya sehingga menarik Rukun Tetangga dan jiran sekitar datang membantu,” katanya.

Dia terpaksa berhenti kerja dan berpindah ke ibu negara disebabkan rasa malu dengan insiden ‘serangan’ berkenaan.

“Selepas bersalin, saya terus berpindah ke Kuala Lumpur dan maklumkan kepada keluarga sebelah saya serta suami mengenai sikap ‘liar’ suami.

“Adik-beradik dan ibu bapa kedua-dua belah pihak memberi ruang dan beri kepercayaan untuk saya cari penyelesaian. Saya maklumkan saya bertekad untuk cerai.

“Cukuplah tiga kali dia merayu dan saya tertipu dengan drama ‘air mata’ bekas suami kononnya sudah bertaubat. Biarlah saya besarkan anak-anak dalam persekitaran sihat.

“Pada gadis di luar berhati-hatilah dengan lelaki yang dikenali menerusi dalam talian. Semak latar belakang mereka terlebih dulu dan jangan percaya bulat-bulat kenalan maya anda,” katanya.

kredit harian metro