Pengantin Wanita Larikan Diri, Keluarga Gantikan Adiknya Untuk Berkahwin Gara-Gara Mahu Jaga Air Muka

New Delhi: Malu selepas pengantin wanita tidak muncul beberapa minit majlis berlangsung, seorang remaja berusia 15 tahun terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ dengan menggantikan tempat kakaknya.

Kejadian mengejutkan itu berlaku di Odisha, India apabila seorang pengantin lelaki menikahi adik pengantin wanita yang masih muda berikutan pengantin perempuan melarikan diri bersama kekasih.

Kejadian berlaku di Kampung Malpada, Selasa lalu apabila pengantin wanita tiba-tiba menghilang beberapa minit sebelum majlis berlangsung.

Portal India.com melaporkan pengantin lelaki berusia 26 tahun itu menunggu dan berharap calon isterinya itu akan segera kembali.

Bagaimanapun, tiada tanda bakal isterinya akan kembali sebelum keluarga mempelai wanita tiba-tiba menawarkan si adik yang baru sahaja berusia 15 tahun.

Keluarga pengantin nekad menggantikan anak mereka masih muda berikutan bimbang dengan tanggapan penduduk kampung.

Sebaik pernikahan berlangsung, pegawai daerah tempatan dilaporkan datang ke situ dan menyelamatkan gadis berkenaan.

Menurut pegawai perlindungan kanak-kanak daerah Kalahandi, Sukanti Behera, pihaknya menyelamatkan remaja berkenaan yang ketika itu sedang bersiap menduduki ujian.Behera berkata, keluarga kepada gadis itu dan pengantin lelaki tidak sedar pernikahan kanak-kanak tidak sah di India.

The New Indian Express melaporkan, Behera berkata, keluarga pengantin lelaki kemudian dimaklumkan remaja itu masih di bawah umur dan belum boleh berkahwin.

Ditanya mengenai insiden itu, ayah remaja berkenaan mengakui dia terpaksa menikahkan anaknya itu berikutan tekanan daripada orang lain.

Keluarga kedua-dua belah pihak sepakat untuk tidak meneruskan pernikahan itu sehingga usia gadis berkenaan mencapai 18 tahun iaitu umur yang dibenarkan untuk berkahwin.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   “Hapuslah Air Matamu Tan Sri Muhyiddin, Demi Kesejahteraan Kami..” – Rakyat Malaysia