“Alhamdulillah Dah Lebih 20 Orang Gelar Saya Ustaz Dajal Kerana Pendirian Yang Menyokong Vaksin”- PU Rahmat

PETALING JAYA, 24 Feb ― Gara-gara menyokong pengambilan vaksin Covid-19, pendakwah Rahmat Ikhsan Sofyan mendakwa dirinya digelar sebagai ‘ustaz dajal’.

Mendedahkan perkara itu di media sosial, Rahmat juga dikenali sebagai PU Rahmat bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pihak menggelarnya sedemikian.

Jelas PU Rahmat, setakat ini terdapat lebih 20 individu menggelarnya ‘ustaz dajal’ dek kerana pendirian menyokong pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah dah lebih 20 orang gelar saya Ustaz Dajal kerana pendirian yang menyokong vaksin.

“Sekarang Ini kalau aku ustaz dajal, siapa ustazah dajal?” selorohnya di Twitter.

Pengambilan vaksin Covid-19 mendapat tentangan beberapa golongan yang mendakwa wujud agenda tersembunyi daripada pihak tertentu.

Tular di media sosial, ada pihak mendakwa program vaksin dijalankan kerajaan didalangi kumpulan anti-Islam yang dikaitkan dengan makhluk dajal.

Dakwaan itu kemudian mendapat perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menganggap ia sebagai tuduhan melulu.

Terdahulu, PU Rahmat turut memuat naik sebuah video menerangkan mengenai kepentingan vaksin Covid-19 selain menolak dakwaan ia merupakan agenda dajal.

Jelasnya, tidak logik jika vaksin dikaitkan dengan dajal memandangkan ia merupakan sebahagian usaha positif bagi menjaga kesihatan diri.

Artikel Berkaitan   Video Kucing Derita Dakit Dalaman, Terpaksa Seret 2 Kaki Belakang Untuk Berjalan, Gadis Ini Kutip Sumbangan Undang Sebak Netizen

kredit projekmm