Putuskan Kesetiaan Kepada Anwar Ibrahim, 2 Ahli Parlimen PKR Nyatakan Sokongan Terhadap Muhyiddin Yassin

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) hari ini menerima sokongan dua Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa pemerintah yang menerajui kerajaan.

Dua ahli Parlimen PKR yang keluar parti ialah Larry Sng Wei Shien (Julau) dan Steven Choong Shiau Yoo (Tebrau). Kedua-duanya telah bertemu dan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah menerima Akaun Bersumpah (SD) daripada kedua-dua ahli parlimen berkenaan.

“Hari ini saya menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, YB Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, YB Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.

“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” katanya di Facebook, hari ini.

Kedua-dua bekas ahli PKR itu kini menjadi ahli Parlimen bebas, mengakhiri khabar angin berhubung kesetiaan mereka kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, termasuk Mohamad Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah, tiga bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti untuk menyertai Kabinet Muhyiddin.

Langkah ini dilihat menghidupkan semula nyawa Kerajaan PN yang kekurangan majoriti apabila dua Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya pada Januari lalu.

Berita ini tentunya menggembirakan Muhyiddin menjelang Dewan Rakyat yang dibenarkan bersidang semula, selepas ugutan ahli-ahli Parlimen Umno yang setia kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menarik kembali sokongan kepada Muhyiddin.

Artikel Berkaitan   “Memang Penat Asyik Kena Kecewa Je, Nasib Baik Ada 22 Tips Untuk Move On, Perasaan Ni Makin On”

Dengan perkembangan terbaru ini, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN kembali menjadi 111 dengan berkelebihan satu majoriti. –

kredit Malaysiapost